Jumaat, 6 April 2018

Pakatan Haram Terengganu Sukar Cari Peluang Memerintah

SHARE
Di Terengganu, Pakatan Harapan tersepit celah-celah kekuatan dua parti tradisi, Barisan Nasional dan PAS.

Menang hanya di kerusi Bandar atas tiket PKR, gabungan itu bagaimanapun menggantung tinggi harapan menawan lima kerusi, termasuk Kuala Terengganu.

Selain PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga mensasarkan kerusi Umno dan PAS yang dimenangi tipis.

Pengundi atas pagar, yang sukar diramal termasuk dalam tinjauan Invoke di sini, diharap-harap akan memihak kepadanya dalam pilihan raya nanti.

Penyandang kerusi parlimen Kuala Terengganu, menang atas tiket PAS dengan 10,785 undi, percaya pengundi yang celik maklumat akan bersamanya.

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, pengerusi PH negeri, menyebarkan tanggapan gabungan itu boleh menang 5-0, termasuk di dua kubu tradisi PAS.

Tidak pernah tewas walau diasak BN pada 2004, PAS menguasai Wakaf Mempelam dengan kelebihan 2,810 undi dan Batu Burok pula 2,273 undi pada 2013.

“Kalau 24 bulan yang lalu mungkin sukar tetapi 12 bulan kebelakangan ini keadaan berubah,” katanya, yang juga pengerusi Amanah negeri.

“Pengundi semakin sedar ada kerjasama Umno dan PAS. Malah dua, tiga bulan ini lagi jelas apabila ada audio [pengakuan kerjasama itu].”

Pengundi Cina, yang dijangka bersama PH, ramai di DUN Bandar (36 peratus).

Mereka hanya membentuk 8 peratus pengundi di DUN Ladang.

Walau jelas sukar menjayakan hasrat itu, ia menjadi cita-cita PH. Azan Ismail, wakil rakyat Bandar dan ketua PKR negeri, sepakat dalam hal ini.

“Secara keseluruhan, saya rasa di Kuala Terengganu masih lagi [PH menang] 5-0. Kita harap ia dapat dikekalkan,” katanya kepada ProjekMMO.

Beliau juga mengharapkan perpecahan PAS, yang melahirkan Amanah pada 2015, memberi sedikit kelebihan kepada PH, selain kemunculan PPBM.

Azan menang dengan majoriti besar 2,519 undi pada 2013, dibantu pengundi bukan Melayu, jauh lebih baik daripada PKR pada 1999 (majoriti 511 undi).

“Saya yakin lebih 60 peratus daripada mereka [Cina] yang memahami isu ini akan menggunakan isu itu untuk membuat keputusan,” katanya.

Mungkin keyakinan mereka tumbuh selepas Amanah dilihat mula menembusi kubu PAS, misalnya di Wakaf Mempelam seperti diusahakan bakal calonnya.

Zubir Mohamad, ketua penerangan Amanah yang disebut-sebut bertanding di situ, mendakwa ceramah-ceramah PAS di markas parti semakin berkurangan.

Jika dahulu hadirin mencecah ribuan orang, katanya ketika ditemui hujung Mac lalu, jumlah itu menyusut kepada ratusan sejak krisis PAS.

PAS dan Umno bagaimanapun tidak melihat Amanah dan PPBM mengancam mereka. Tokoh PAS Datuk Mustafa Ali melihat mereka “perosak undi” sahaja.

“Ramai ahli akar umbi [PAS] payah hendak terpengaruh, mereka tidak terkesan.

Amanah dan PPBM ini 'perosak undi' saja. Hendak menang payah,” katanya, bekas pengarah pilihan raya nasional PAS.

Untuk mengukuhkan kehadiran PH di parlimen ini, Raja Kamarul Bahrin diura-ura bertanding di DUN Batu Burok, selain mempertahan parlimennya.

Namun DUN ini satu lagi kubu kuat PAS yang tidak pernah tewas sejak 1990. Ia masih di tangan parti Islam dengan 240 undi pada 2004.

PPBM pula memilih Ladang, DUN yang dimenangi PAS sebanyak tiga kali sejak 1999. PAS dapat 924 undi pada 2013 walau menang 31 undi sahaja pada 2008.

Hambali Abdul Latiff, ketua penerangan PH, mengakui laluan gabungan itu sukar kerana PAS masih berkuku di Batu Burok dan Wakaf Mempelam.

Begitu juga di Sura dan Paka bawah parlimen Dungun, tambahnya. PAS masing-masing menang dengan majoriti 2,957 dan 1,287 undi di sini.

Selain Kuala Terengganu, PH mempertaruh nasib di tiga kerusi PAS yang dimenangi bawah 1,000 undi di Kuala Nerus, kerusi yang BN yakin menang.

PAS menang Tepuh 229 undi, Teluk Pasu (109) dan Bukit Tunggal (652). BN yakin tiga kerusi ini dapat dirampas daripada parti Islam.

Berdepan dengan cabaran berat itu, Hambali, bekas wartawan yang kini bersama PPBM, berharap 30 peratus pengundi atas pagar boleh menyokong PH.

Daripada 737,940 pengundi, jumlah ini boleh menggugat kerusi PAS dan Umno yang dimenangi dengan tipis, ibarat “berada di hujung tanduk”, katanya.

Invoke Terengganu, badan kajian yang dipimpin naib presiden PKR Rafizi Ramli, menjangkakan 50 peratus pengundi dalam kategori “atas pagar”.

“Sepatutnya dengan suasana politik sekarang mereka sudah boleh buat keputusan, cuma tidak menzahirkannya sahaja,” kata satu sumber badan itu.

Harapan PH ini mungkin ada asasnya. Pada pilihan raya umum lalu, corak pengundian di Terengganu menunjukkan beberapa kejutan menarik.

PAS menang di Chukai dan Paka dengan majoriti 2,446 dan 1,287 undi. Kira-kira 12 peratus pengundi Cina di Chukai dan 5 peratus lagi di Paka.

BN pula merosot di Jertih, daripada 3,046 undi pada 2008 kepada 930 undi pada 2013. Kuala Berang juga merosot kepada 449 daripada 1,592 undi.

Sementara Manir (PAS) dan Kemasik (BN), walau majoriti bawah 1,000 pada pilihan raya lalu, kekal menjadi kubu yang tidak pernah ditembusi lawan.

Selain faktor ini, perpecahan Umno yang melahirkan PPBM bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad turut membuka harapan PH di negeri ini.

Seorang pemimpin Umno Kuala Nerus, yang enggan dikenali, percaya pengundi tua boleh terpikat dengan kempen parti itu dan bekas perdana menteri.

“Tetapi saya dapat maklumat daripada pegawai-pegawai kerajaan, ia masih OK [tidak jejas BN],” katanya ketika ditemui ProjekMMO bulan lalu.

Sejarah perpecahan Umno di peringkat nasional sejak 1990 tidak selalu menguntungkan serpihannya kecuali krisis besar pentadbiran negeri.

Pada 1990, Parti Melayu Semangat 46 hanya menang dua kerusi, Bukit Tunggal (majoriti 237) dan Tanggul (kini Ajil, 16 undi). Ia tewas teruk pada 1995.

Pada 1999, penolakan Umno terhadap menteri besar waktu itu Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, mulai awal 1990-an, membantu PKR dan PAS.

Menang 28 daripada 32 kerusi atas nama Barisan Alternatif, susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia kemudian tewas teruk pada 2004.

PKR kemudian gagal bertapak di Terengganu kecuali di tangan Azan, berkat kesatuan pembangkang lima tahun lalu. Yang untung selama ini, PAS.

Dalam persaingan tiga penjuru kali ini — berbeza 1990, 1999 dan 2013 — kekuatan tiga parti serpihan ini kekal tanda tanya yang mendebarkan.

BN dengan slogan “Terengganu molek doh”, apa lagi harapan PH?
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers