Jumaat, 20 April 2018

Pegawai MB bertanding, cuba kukuhkan Azmin di Gombak

SHARE
PETALING JAYA, 20 April — Seorang pegawai menteri besar Selangor bakal dicalonkan di kerusi negeri bagi memantapkan parlimen Gombak.

Muhammad Hilman Idham disebut-disebut akan diletakkan di Gombak Setia, kerusi bekas sekutu PKR yang bakal dipertahan Hasbullah Mohd Ridzwan.

Diumumkan oleh PAS malam tadi, ustaz itu mendapat 1,681 undi pada 2013.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka kekal di Gombak, parlimen yang dimenanginya dengan 4,734 undi berbanding 6,867 pada 2008.

Muhammad Hilman, bekas aktivis mahasiswa, dijangka bergabung dengan Amirudin Shari, exco negeri yang menyandang Sungai Tua (dulu Batu Caves).

Dijangka mengekalkan kerusinya itu, Amirudin meraih majoriti 3,261 undi.

Dianggap kubu kuat PAS, Gombak bakal menyaksikan pertembungan antara Azmin dengan pemimpin nombor dua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin.

Tanggapan popular kerusi ini tidak selamat untuk timbalan presiden PKR sehingga beliau diura-ura berpindah kerusi parlimen lain.

Namun sumber PKR percaya kawasan ini “dekat dengan Azmin”, yang dibesarkan di Hulu Kelang, kerusi negeri yang pernah diwakili pada 1999.

“Apabila menjadi menteri besar, Gombak antara daerah yang menerima limpahan pembangunan hasil daripada kepimpinannya yang peduli rakyat.

“Jadi kami cukup yakin, rakyat Gombak akan menobatkan Pakatan Harapan sekali lagi dalam pilihan raya kali ini,” kata sumber kepada ProjekMMO.

Ditanya tentang pengagihan kerusi lain, sumber menyatakan beberapa kerusi masih dibincangkan dan dimuktamadkan sebelum pengumuman rasmi Isnin ini.

Selain PKR dan PAS, calon Barisan Nasional Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, anak arwah guru silat terkenal, diura-ura menyertai persaingan ini.

Namun belum dapat dipastikan sama ada di parlimen atau kerusi negeri. BN belum mengumumkan calon-calonnya.

Hulu Kelang pula dijangka dipertahan oleh Saari Sungib, wakil PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), yang menang dengan 2,881 undi.

Amirudin dan Saari masing-masing akan bersaing dengan calon PAS Mohammad Ibrahim dan Kamalulhysham Mohd Suhut dalam persaingan minima tiga penjuru.

Majoriti timbalan ketua PKR cabang itu merosot sedikit daripada 3,639 undi pada 2008, sementara undi Saari meningkat sedikit daripada 2,134 undi.

Muhammad Hilman enggan mengulas ketika dihubungi tadi tetapi Facebook Gombak Kita Setia menunjukkan beliau terlibat aktif di sana.

Bertanding kali pertama, beliau dijangka terpaksa bekerja keras untuk merampas kerusi tersebut, yang dipegang PAS sejak 2008.

Waktu itu pakar motivasi Hassan Mohamed Ali menang dengan kelebihan 2,797 undi, lebih 1,000 daripada yang dicapai Hasbullah.

Kerusi ini dimenangi PAS kali pertama pada 1999, susulan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sementara Azmin memenangi kerusi Hulu Kelang.

Susulan persempadanan semula, calon PAS waktu itu ustaz Datuk Ismail Kamus gagal mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya 2004.

Bagi kerusi Gombak, pemimpin PAS waktu itu Dr Mohd Hatta Ramli gagal menawannya pada 1999 apabila tewas dengan majoriti tipis 803 undi sahaja.

Kini menyertai Amanah dan bertanding di parlimen Lumut, beliau mencuba lagi pada 2004 tetapi tewas lebih besar, 13,207 undi.

Selain Muhammad Hilman, PKR Selangor dijangka meletak beberapa lagi calon muda. Pengumuman dijadual dibuat di stadium Kuala Selangor.

Ia akan disertai semua pemimpin atasan Pakatan Harapan, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers