Ahad, 8 April 2018

Pengumuman lapangan terbang baharu hadiah bagi Perak

SHARE
IPOH: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mewujudkan sebuah lapangan terbang baharu di Seri Iskandar dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) adalah hadiah dan sesuatu yang sangat dinantikan rakyat Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata pengumuman itu ibarat mimpi menjadi kenyataan kerana ia memang satu berita yang sangat-sangat dinantikan negeri ini.

Katanya, sudah lama rakyat di Perak menantikan pengumuman dari Perdana Menteri sendiri bagi membolehkan aktiviti lebih rancak berlangsung di negeri itu dan dengan adanya lapangan terbang baharu yang dapat menampung keperluan penduduk dengan lebih baik.

"Kami sangat menyambut baik pengumuman berkenaan sebagai suatu komitmen dan kesungguhan kerajaan Pusat untuk membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri.

"Ia seperti impian yang menjadi kenyataan," katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui selepas pengumuman Manifesto BN yang disiarkan secara langsung turut gembira dengan berita itu.

Peniaga, Aainaa Athirah Adnan, 32, berkata sebagai anak Perak, dia sangat gembira dengan pengumuman itu yang antara lain akan mengetengahkan Perak sebagai destinasi yang lebih dikenali di mata pelancong.

"Pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa ini semestinya akan berupaya menarik lebih ramai pelacong untuk berkunjung ke negeri ini dan mampu memperkenalkan Perak di peringkat antarabangsa dengan lebih banyak laluan berlepas dan mendarat di situ," katanya.

Bagi pelajar, Mohamed Aqlan Amsyar Mohamed Fishal, 18, pengumuman Perdana Menteri itu akan memberikan limpahan ekonomi dan meningkatkan sektor pelancongan negeri Perak ke tahap yang lebih baik.

"Rakyat Perak juga sudah semestinya akan mendapat manfaat kerana dengan adanya laluan antarabangsa, tidak perlu lagi menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Walaupun laluannya agak terhad namun ia tetap memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan," katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers