Tuesday, 10 April 2018

6 teras Manifesto BN Sarawak

SHARE
PETRA JAYA: Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak menggariskan enam teras utama dalam mendokong usaha menjadikan Bumi Kenyalang sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat bagi tempoh jangka panjang.

Bertemakan `Transformasi Sarawak Melalui Ekonomi Digital, Kesinambungan dan Peluang Baharu', ia memperlihatkan komitmen BN Sarawak untuk terus memperkasakan agenda pembangunan negeri ini dan sosio-ekonomi rakyat.

Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata teras pertama ialah untuk kekal melindungi hak kepelbagaian etnik dan memelihara keharmonian perpaduan di negeri ini.

Menurutnya, BN Sarawak turut menyatakan aku janji untuk terus menyediakan kemudahan dan peluang pendidikan lebih baik kepada rakyat melalui pembinaan lebih banyak sekolah, meningkatkan biasiswa serta penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

Ia turut membabitkan pengiktirafan terhadap sekolah Cina, selain sekolah mubaligh dan sekolah agama Islam yang terbukti banyak menyumbang kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan rakyat Sarawak.

"Membangunkan luar bandar menerusi pelbagai transformasi turut diberikan keutamaan dalam agenda BN Sarawak melalui usaha menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.

"Pada masa yang sama, sekolah dan klinik di kawasan pedalaman serta luar bandar akan dinaik taraf, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi kita," katanya ketika melancarkan Manifesto BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini semalam.
Hadir sama Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Demoktratif Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing dan Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), Datuk Seri Wong Soon Koh.

Abang Johari yang juga Presiden PBB dan Ketua Menteri Sarawak turut menggariskan usaha melindungi alam sekitar, meningkatkan tahap kesejahteraan hidup rakyat di bandar, kampung dan rumah panjang, selain menyediakan perkhidmatan kesihatan serta kemudahan sosial terbaik.

Katanya, BN Sarawak mensasarkan kewujudan lebih banyak peluang baharu untuk kemajuan negeri dan kemakmuran rakyat yang berterusan melalui kejayaan memperoleh kembali hak kawalan industri minyak serta gas negeri, selain meningkatkan penyertaan `Anak Sarawak', khususnya golongan belia dan wanita dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Digital.

"Teras terakhir membabitkan amalan tadbir urus yang baik dan penuh berintegriti, khususnya membabitkan perkhidmatan awam, sekali gus mampu menyediakan kualiti perkhidmatan lebih cekap dan bertanggungjawab kepada rakyat," katanya.

BN Sarawak juga, katanya, cukup komited dalam mengembalikan kedudukan asal Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), membabitkan usaha mendapatkan kembali segala hak dan keistimewaan yang terhakis sebelum ini.

"Penurunan kuasa kepada Sarawak dalam membuat keputusan mengenai dasar dan amalan yang mahu dilaksanakan di negeri ini walaupun ia tidak konsisten dengan dasar dan amalan Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Sarawak juga akan meningkatkan geran khas daripada Kerajaan Persekutuan selain mengembalikan kuasa memungut duti setem ke atas transaksi tanah kepada Sarawak.

"Kita juga akan terus menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan atas kehilangan pendapatan kerana pemansuhan duti import produk petroleum. Inilah detik penting untuk mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak menerusi perpaduan dan kekuatan bagi mencapai kemakmuran lebih tinggi," katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers