Jumaat, 20 April 2018

PM sasar tiga juta peluang kerja pendapatan tinggi

SHARE
KUALA LUMPUR, 20 April — Program MyApprenticeship akan menyediakan satu juta peluang pekerjaan tambahan kepada rakyat Malaysia, kata perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semasa melancarkan program perantisan itu hari ini, beliau berkata ia menyediakan peluang perantisan di sektor awam dan swasta sehingga 2019 serta menyasarkan golongan wanita dan belia di negara ini.

Beliau berkata program itu diputuskan dalam mesyuarat Lautan Strategi Biru Kebangsaan (NBOS) pada 22 Februari lepas dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan bertindak sebagai peneraju program berkenaan.

Najib yang juga menteri kewangan berkata kerajaan turut komited untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan baharu khususnya yang berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi AkuJanji Ketiga dalam Manifesto Kerajaan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ini adalah strategi kerajaan secara menyeluruh yang bersandarkan kepada pencapaian kita sejak 2010. Kita telah berjaya menyediakan 2.26 juta peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada program MyApprenticeship di sini.

Najib berkata program itu, yang merupakan cetusan ideanya, merupakan satu agenda besar negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir lagi kompeten dalam pelbagai bidang serta jaminan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lebih tinggi.

“Program ini menggambarkan usaha komprehensif serta pemerkasaan modal insan bagi menjamin peluang pekerjaan dan latihan secara menyeluruh serta inklusif. Ini akan menyediakan kemahiran pekerjaan sesuai dengan keperluan masa kini dan akan datang dalam konteks industri revolusi 4.0,” kata beliau.

Bagi menjayakan program MyApprenticeship, Najib berkata kerajaan perlu mewujudkan jalinan kerjasama erat antara sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam menyediakan peluang perantisan melalui satu sistem latihan yang sistematik.

Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai berganda kepada semua syarikat yang terlibat dalam merealisasikan program MyApprenticeship sebagai insentif, kata beliau.

Pada majlis itu yang dihadiri kira-kira 6,000 belia, perdana menteri turut melancarkan portal MyApprentinceship bagi memudahkan capaian kepada maklumat, pendaftaran, hebahan, carian dan padanan program perantisan di antara penyedia latihan.

“Portal ini bertindak sebagai Platform Sehenti bagi menyediakan maklumat mengenai peluang perantisan, peluang pekerjaan termasuk memadankan program perantisan dengan majikan yang bersesuaian mengikut bidang pekerjaan,” kata Najib.

Beliau juga menyaksikan pertukaran 18 dokumen kerjasama dan memorandum persefahaman yang melibatkan agensi kerajaan dengan pihak swasta yang menyediakan 3,000 tempat skim perantisan.

Antara syarikat swasta itu ialah AirAsia Bhd, Malindo Airways Sdn Bhd, Gamuda Bhd, Brahim's Sats Food Services Sdn Bhd, Eco World Development Group Bhd, Western Digital (M) Sdn Bhd dan 7-11 Malaysia Sdn Bhd.

Program sehari ini turut membabitkan 73 ruang pameran merangkumi pameran kerjaya, peluang perantisan, proses temuduga terbuka untuk mengisi kekosongan jawatan, seminar mengenai IR4.0 dan ceramah. — Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers