Selasa, 10 April 2018

PRU14: Hari pengundian; 9 Mei, penamaan calon; 28 April

SHARE
PUTRAJAYA, 10 Apr: Hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ditetapkan pada 9 Mei.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ketika mengumumkan perkara itu berkata tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula dari tarikh penamaan calon sehingga 11.59 malam 8 Mei,” katanya semasa mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU14 pada sidang akhbar khas yang turut disiarkan secara langsung di RTM, di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Pada PRU13 lepas, tempoh berkempen yang ditetapkan ialah selama 15 hari.

Menurutnya lagi, SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan 11 April.

Mohd Hashim berkata daftar pemilih suku keempat 2017 yang mempunyai 14,940,624 pemilih berdaftar akan digunakan untuk PRU14,

Daripada jumlah itu 14,636,716 adalah pemilih biasa, 300,255 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis dan 3,653 pengundi tidak hadir luar negara.

Menurut Mohd Hashim, kos pengendalian PRU14 dianggarkan berjumlah RM500 juta melibatkan 259,391 petugas pilihan raya.

Untuk tujuan pengundian keseluruhan, beliau berkata SPR menyediakan 8,989 premis bangunan yang akan digunakan sebagai pusat mengundi mengandungi 28,995 tempat/saluran mengundi.

Bagi menjalankan proses PRU14 ini, SPR telah melantik 222 orang pegawai pengurus pilihan raya.

Terdahulu, Mohd Hashim mempengerusikan mesyuarat khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRU14 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa 7 April lepas.

Sebelum dibubarkan, keanggotaan Dewan Rakyat terdiri daripada 132 wakil Barisan Nasional (BN), DAP (36), PKR (28), PAS (13), Parti Amanah Negara (Amanah) (tujuh), Parti Warisan Sabah (Warisan) (dua), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing satu kerusi serta Bebas (dua).

Jumlah kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini masih kekal seperti PRU13 lepas iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohd Hashim berkata SPR telah menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen Penggal ke-13 pada 7 April lepas, diikuti pemakluman rasmi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat serta speaker-speaker dewan undangan negeri (DUN) bagi semua negeri yang terlibat.

Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak telah dibubarkan setakat 9 April (semalam) dan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada Mei 2016.

Mohd Hashim berkata daftar pemilih PRU14 mula dijual pada 16 April ini dan para pengundi boleh membuat semakan maklumat pusat mengundi mereka melalui laman web SPR di www.spr.gov.my atau melalui aplikasi MySPR Semak atau menghubungi talian 03-88927018 atau SMS ke 15888.

Mohd Hashim berkata SPR telah menjemput 14 buah negara sebagai pemerhati antarabangsa untuk PRU14 itu.

Mereka terdiri daripada badan pengurusan pilihan raya dari negara-negara anggota ASEAN, Komanwel, Asia dan Eropah serta sebuah pusat kajian dan sokongan kepada badan pengurusan pilihan raya yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom iaitu Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC).

“SPR turut melantik 14 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil universiti sebagai pemerhati tempatan untuk menjalankan pemerhatian ke atas penjalanan proses PRU14 ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan,” katanya.

Beliau berkata pemerhati antarabangsa dan pemerhati tempatan dibenarkan untuk membuat pemerhatian antaranya di dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.

Dalam hal ini, Mohd Hashim berkata SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRU14 ini.

Beliau turut mengingatkan tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara bagi kategori borang 1A akan ditutup pada 28 April 2018.

Katanya tarikh tutup bagi permohonan kategori borang 1C pula adalah pada 23 April 2018.

Mohd Hashim berkata maklumat-maklumat lain berhubung urusan pilihan raya ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh SPR.-TMT

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers