Selasa, 10 April 2018

PRU14: Polis kenal pasti 1,131 individu berpotensi cetus kekacauan

SHARE
KUALA TERENGGANU, 10 Apr: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 1,131 individu di seluruh negara yang berpotensi menimbulkan kekacauan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, daripada 171 kawasan panas pula, sebanyak 31 kawasan adalah di Terengganu.

“Kesemua mereka berada dalam pemantauan pihak polis. Kita bukan nak menimbulkan ketakutan atau ugut sesiapa tapi kita nak pastikan mereka ini yang berpotensi menimbulkan kekacauan tidak akan menimbulkan masalah semasa perjalanan proses pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis apresiasi bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sempena Hari Polis ke 211 yang turut dihadiri, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata 25 peratus daripada 3,500 anggota polis di seluruh Terengganu akan digembleng untuk memastikan perjalanan PRU14 berjalan lancar di seluruh negeri ini.

“Manakala 25 peratus lagi anggota akan kekal menjalankan kerja-kerja hakiki harian.

“Kita juga telah sediakan masing-masing dua pasukan untuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) bagi memastikan pilihan raya ini berjalan dengan selamat dan terkawal,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa Terengganu adalah negeri yang amat aman untuk perjalanan PRU14 setakat ini, malah kadar indeks jenayah juga berjaya dikurangkan lebih 30 peratus pada tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, itu bukanlah bermaksud tiada insiden akan berlaku di Terengganu pada PRU14 nanti, cuma kita ingin tegaskan bahawa semua persediaan rapi telah dibuat termasuk kekuatan anggota dan aset bagi memastikan pengundi dapat keluar dengan selamat,” katanya.– Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers