Tuesday, 10 April 2018

Safie Apdal 'Tikam Belakang' Najib

SHARE
SEMPORNA: Datuk Seri Najib Razak mengakui kecewa kerana menjadi mangsa 'tikam belakang' orang kepercayaannya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, susulan keputusan Naib Presiden UMNO itu keluar daripada parti.

Najib berkata, kerjaya politik Shafie tidak mungkin berputik sehingga diangkat sebagai antara tiga teraju kanan utama UMNO jika bukan kerana pertolongannya.

"Saya tolong Shafie lagi banyak daripada apa yang dilakukan untuk Tan Sri Musa Aman (Ketua Menteri Sabah). Musa sudah pun jadi Ketua Menteri ketika saya menjadi Perdana Menteri.

"Saya 'angkat' Shafie untuk menjadi Naib Presiden UMNO dari Sabah, iaitu keputusan lantikan seumpamanya dan tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia adalah peluang luar biasa yang dianugerahkan kepadanya.

"Jika bukan saya yang kempen untuknya, beliau tidak mungkin berjaya," katanya ketika menyampaikan ucaptama dihadiri lebih 14,000 penduduk Semporna dan penyokong Barisan Nasional (BN) sempena majlis pelancaran Hab Pelancongan Semporna di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Musa dan isteri Puan Sri Faridah Tussin, selain Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran.

Perdana Menteri berkata, percaturan melantik Shafie dalam menggalas peranan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bertujuan untuk memacu kemajuan Sabah.

Bagaimanapun, Najib berkata, Ahli Parlimen Semporna itu memilih untuk tidak melaksanakan peranan yang diberi dan enggan bekerjasama dengan pelbagai pihak.

"Saya sudah nasihatkan Shafie berulang kali untuk bekerjasama dengan Musa, namun beliau degil dan tidak mengendahkannya," katanya.

Menyifatkan Shafie pernah dianggap sebagai kawan baik, Najib berkata, Presiden Parti Warisan Sabah itu memilih untuk 'tikam belakang' selepas mengambil keputusan meninggalkan UMNO dan ia ibarat 'belati menusuk ke hati'.

"Saya sangat kecewa dengannya apabila beliau tikam belakang. Sakit daripada angkaranya teramat dalam, sehingga menggigit tulang rusuk.

"Masih boleh diterima andai tidak suka saya. Saya bukan suruh taat pada saya sebagai seorang individu, tetapi terhadap kepemimpinan parti dan kerajaan.

"Sudahlah bercakap pasal Shafie. Ia lebih menyakitkan apabila berbicara mengenainya," katanya sambil menambah konsep walak atau kesetiaan dalam Islam terhadap pemimpin, bukan individu sewajarnya dijadikan pegangan dan sandaran.

Di sebalik kemelut berkenaan, Najib optimis BN berupaya mengekalkan pegangannya di Semporna dengan merampas semula kerusi itu bersandarkan sokongan disuarakan penduduk di kawasan terbabit.

Selain itu, katanya, keteguhan semangat dalam diri sehingga berupaya menongkah pelbagai cabaran mendatang adalah hasil sokongan lebih tiga juta ahli UMNO di seluruh negara.

Najib turut mengumumkan pelebaran jalan masuk ke bandar Semporna daripada dua kepada empat laluan, selain pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum Bum dan bandar Semporna.

Turut berlangsung pada majlis sama adalah penyerahan 10 tanah adat kepada penerima berkaitan.-Berita Harian
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers