Sunday, 1 April 2018

Sasar 70% Penglibatan wanita Dalam Road To MAHA

SHARE


TELUK INTAN, 1 Apr: Sasaran 70 peratus penglibatan wanita dalam Pameran Road To MAHA (Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia) 2018 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuktikan komitmen kerajaan memperkasakan peranan wanita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata golongan wanita perlu diletakkan di garisan hadapan dalam industri berasaskan agro makanan dengan menyasarkan Revolusi Perindustrian 4.0 bagi mendokong hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah jelas Ahmad Zahid, pameran MAHA bukanlah sekadar keraian semata-mata malah mahu menjadikan suatu pameran untuk lihat keberadaan wanita.

“Tahun ini kita fokus kepada wanita dan ia adalah satu langkah terkehadapan untuk memperkasakan peranan wanita.”

“Ia bukan sekadar komitmen tetapi menterjemahkan kerajaan dalam komitmen di mana Kementerian Pertaninan dan Industri Asas Tani menyasarkan 70 peratus terdiri dari kaum wanita untuk MAHA. Ia pencapaian yang baik dan saya fikir tak harus ketepikan golongan lelaki. Hubungan antara lelaki dan wanita saling berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Road To MAHA Zon Utara di Perkarangan Dataran Menara Condong, di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Anggota Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ahmad Zahid juga berkata, Road To MAHA bukan sahaja untuk memperlihatkan keberadaan wanita sebaliknya yang lebih penting produk yang dihasilkan itu bukan semata-mata untuk pasaran tempatan tetapi diperluaskan di peringkat antarabangsa.

“Tentunya slogan ‘Segalanya Wanita’ pada kali ini bukan hanya sekadar ‘tagline’ dan MAHA juga bukanlah majlis keraian sebaliknya kita mahu ia menjadi medium untuk mempromosikan peranan golongan berkenaan di dalam industri.

“Jika potensi ini dapat digali dan berikan peranan penting untuk wanita, saya yakin MAHA kali ini bukan sahaja mencatatkan kehadiran 3.7 juta pengunjung tetapi lebih 4 juta pengunjung,” katanya.

Road to MAHA bertujuan membawa kemeriahan MAHA 2018 kepada rakyat seluruh negara sebelum kemuncak berlangsungnya ekspo pertanian terbesar itu dari 22 Nov hingga 2 Dis depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Antara yang menarik sepanjang ekspo pertanian tersebut ialah jualan pelbagai hasil tempatan, termasuk bahan segar seperti ikan, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan, jualan produk asas tani, juadah popular, trak makanan, kraftangan serta promosi destinasi agro pelancongan.—Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers