Friday, 20 April 2018

Sejauh mana faktor Mahathir, Mukhriz di Kedah ?

SHARE
ALOR SETAR, 20 April : Pengaruh Timbalan Presiden PBBM Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir tidak cukup kuat di Kedah untuk menggoyahkan pendirian pengundi yang menyokong Barisan Nasional khususnya di kawasan luar bandar, kata Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek.


Pengaruhnya sebagai bekas menteri besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini bukanlah kegusaran kepada BN kerana beliau menang mudah pun pada PRU13 hanya semata-mata tiket BN.

Kali ini beliau akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Jitra di kawasan Parlimen Kubang Pasu dan kerusi Parlimen Jerlun atas tiket pembangkang, tentunya amat berbeza, katanya.

Adakah faktor Mukhriz di Jitra dalam kubu kuat Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad selama tiga dekad sejak 1974 di kawasan Parlimen Kubang Pasu ketika Tun bersama UMNO mampu menggugat pendirian penyokong BN dan beralih arah?

Abdul Halim berkata rakyat negeri ini sedia maklum kelebihan Mukhriz ketika dalam UMNO semata-mata atas tiket beliau sebagai anak kepada bekas perdana menteri yang memimpin selama 22 tahun.

Kemungkinan Mukhriz kalah di Kedah pada PRU14 ini besar kerana beliau tidak pernah aktif berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kedah, katanya.

“Walaupun menang pada PRU13 dan menjadi Menteri Besar, dia (Mukhriz) dipilih bukan sebab ada kredibiliti, tetapi sebab BN dan orang ramai marah dengan PAS yang bergabung dengan pakatan pembangkang ketika itu ,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas peluang dan pengaruh Mukhriz pada PRU14 yang akan berlangsung 9 Mei .

“Faktor Tun Mahathir dan Mukhriz ini jugalah yang memecahkan UMNO negeri…

Abdul Halim berkata UMNO dan BN kini lebih bertaut kukuh selepas Dr Mahathir dan Mukhriz tidak lagi berjuang bersama BN yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

“Faktor Tun Mahathir dan Mukhriz ini jugalah yang memecahkan UMNO negeri… sedangkan ada lagi calon lebih layak dan berpengalaman untuk menjadi Menteri Besar ketika itu.

Akhirnya sewaktu memimpin Kedah, Mukhriz tidak jadikan negeri itu sebagai ‘rumahnya’ dan gagal menyentuh kemahuan dan keperluan rakyat,” katanya yang yakin peluang UMNO dan BN di Kedah menang khususnya di kawasan Parlimen Kubang Pasu tetap cerah.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar berkata UMNO dan BN sentiasa berpegang kepada prinsip beristiqomah dalam perjuangan serta ketaatsetiaan yang menguatkan lagi parti.

“Berdepan dengan siapa pun calon lawan bukanlah soalnya, kerana saya yakin jentera parti akan bersama menggerakkan serta memperjuangkan kemenangan calon BN. Siapa juga lawan kita (BN) akan sedia berdepan, tidak kira kawan atau lawan, kejayaan parti itu lebih utama.

“Saya yakin rakyat melihat siapa yang benar-benar menjadi wakil rakyat dan bekerja untuk mereka. Rakyat di setiap kawasan cukup tahu akan hakikat ini,” katanya yang yakin mana-mana calon diketengahkan BN, akan sentiasa bersedia berdepan bekas “menteri besar itu.

Aminuddin turut mengingatkan para penyandang atau mereka yang tidak tercalon pada PRU14 untuk terus konsisten dalam perjuangan parti yang jelas dengan matlamat membangunkan negara dan melihat anak bangsa terus maju.

“Semangat kesetiaan dan kebersatuan dalam menjaga parti itu perlu diutamakan sebagai mendukung tampuk kepimpinan, kerana mereka lebih tahu siapa calon yang betul-betul mempunyai kredibiliti untuk diketengahkan. Janganlah kita sabotaj parti sekiranya tidak dipilih.

“Usahlah mengikut kehendak hati kita sahaja. Kalau hari ini kita tidak dipilih mungkin pada masa yang lain kita akan dipilih… kalau masa kita terpilih orang rela bekerja untuk kita, maka apabila orang lain pula terpilih kita perlu bersedia bekerja untuk orang itu pula,” jelasnya. — BERNAMA
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers