Jumaat, 20 April 2018

Tiada tekanan untuk umum calon BN di Melaka – Idris Haron

SHARE
MELAKA, 20 April : Barisan Nasional (BN) Melaka tidak mahu memberi tekanan terhadap pucuk kepimpinan tertinggi parti dalam soal pemilihan calon BN di Melaka bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan menyerahkan sepenuhnya kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata beliau percaya pihak kepimpinan tertinggi parti masih lagi mencari calon yang terbaik bagi mewakili parti pada PRU14 dan pihaknya akan mengumumkan senarai calon BN di Melaka selepas mendapat arahan daripada Najib yang juga Perdana Menteri.

“Belum sampai masanya, saya tidak boleh bagi tarikh yang tepat untuk umumkan calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan tidak ada tekanan seperti mesti umumkan… Saya yakin ikut pengalaman lalu dalam tempoh lima hingga tujuh hari sebelum penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran 1 Masjid 1 Polis di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN negeri-negeri akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN masing-masing pada PRU14, bila-bila masa dari sekarang.



Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri selaku Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi kuasa kepada semua pengerusi BN negeri untuk mengumumkan calon masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

Sementara itu, mengulas mengenai calon PAS Melaka yang diumumkan malam tadi Idris yang juga Pengerusi BN Melaka berkata negeri ini sentiasa mengamalkan demokrasi tulen dan pihaknya tidak menghalang mana-mana parti atau anggota bebas untuk bertanding pada PRU14 kerana memberi peluang kepada rakyat untuk memilih.

“Saya anggap PRU14 kali ini mungkin meriah dan kita akan dapat lihat banyak calon yang masing-masing mempunyai peluang untuk buktikan kebolehan dan keupayaan serta kaedah tersendiri untuk memenangi hati rakyat. Namun di Melaka, BN tetap menjadi pililihan rakyat,” katanya.

Malam tadi Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek mengumumkan PAS Melaka bakal bertanding di lima kerusi parlimen dan 24 kerusi DUN di negeri ini pada PRU14.

— BERNAMA
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers