Friday, 6 April 2018

Zairil: Tiada jaminan DAP pertahan Bukit Bendera

SHARE
Ahli parlimen Bukit Bendera tidak melihat DAP dengan mudah boleh mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum nanti.

Zairil Khir Johari berkata berdasarkan sejarah, kerusi parlimen itu kubu kuat Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRU lepas.

“Walau [saya] menang dengan majoriti tinggi pada PRU lepas, tidak juga boleh dikatakan selesa kerana sebelum 2008, itu adalah kerusi Gerakan.

“Bekas setiausaha agung mereka Datuk Seri Chia Kwang Chye pegang tiga penggal. PRU 1999, Lim Kit Siang kalah di situ, jadi tidak boleh diambil ringan.

“Bukit Bendera bukan kerusi mudah DAP dan jika diikutkan sejarah, ia memang satu kerusi kuat untuk Gerakan dan BN,” katanya kepada ProjekMMO.

Zairil, naib presiden Penang Institute, ditemui semalam ketika menemani tunangnya Dyana Sofya Mohd Daud menghadiri sebuah program bual bicara.

Bekas calon Teluk Intan itu diundang sebagai tetamu program “Sepetang Bersama: Dakwat Di Jari” anjuran TV9 di sebuah hotel terkemuka di sini.

Zairil, 35, berkata calon yang akan bertanding di kerusi parlimen Bukit Bendera perlu berdepan dengan kumpulan pengundi yang bijak.

Katanya, berdasarkan sejarah, tiada jaminan DAP mampu mempertahankan kerusi itu dalam PRU kali ini.

“Kita lihat dahulunya Bukit Bendera adalah kubu BN. Pengundi Pulau Pinang jika diikutkan pada sejarah, bila-bila masa mereka boleh bertukar.

“Pada 1969 mereka undi Gerakan, menolak BN. Pada 2008 DAP pula memonopoli dan Gerakan ditolak. Ini boleh berlaku sekelip mata.

“Walau tiada persempadanan semula tetapi calon berdepan dengan pengundi bijak. Kami tidak boleh sembarangan dan mengambil mudah hasrat pengundi,” katanya.

Beliau berkata penguasaan BN juga boleh dilihat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), apabila wakil mereka pernah memenangi kerusi itu.

“Kerusi di bawah Bukit Bendera pun bukan secara tradisinya milik DAP,” katanya.

Tanjung Bungah pernah dimenangi Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas ketua menteri. Pulau Tikus oleh bekas ketua Gerakan Datuk Teng Hock Nan dan Air Puteh pernah dimenangi MCA.

“Dalam politik, kami kena teruskan segala usaha dan tidak boleh mengambil mudah,” katanya.

PRU lepas Zairil memenangi kerusi Bukit Bendera dengan majoriti 32,778 undi menewaskan calon BN Teh Leong Meng. Banyak ramalan melihat kekuatan DAP dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang masih memihak kepada mereka.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers