Tuesday, 29 May 2018

Bantah Cadangan Buka UiTM Kepada Semua Kaum

SHARE
KUALA LUMPUR, Mei 28 : Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia Datuk Mohd Zaini Hassan dalam satu kenyataan media hari ini menyatakan bahawa Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (PAUiTM) yang mewakili 700,000 alumni UiTM di seluruh negara memandang serius tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) hari ini yang antara lain mendesak supaya membuka kemasukan UiTM dibuka kepada semua kaum.

“PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum. Ini berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu.

“PAUiTM bimbang kenyataan Hindraf seperti ‘menuang minyak ke api’ itu akan mencetuskan kemarahan umat Melayu Bumiputera di negara ini”, katanya dalam satu kenyataan melalui laman sesawangnya hari ini.

Zaini menambah “Sehubungan itu kami mahu kenyataan berbau hasutan seperti itu dihentikan sama sekali oleh mana-mana pihak sekali pun.

“Sebaliknya PAUiTM mencadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan terus mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung Bumiputera itu.

“Bagi mempastikan UiTM tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lagi kami mencadangkan ia diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu”, ujarnya dalam kenyataan itu.

KERAJAAN PERTIMBANG – TUN M

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan 25 tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) termasuk berkaitan tanah rancangan FELDA dan kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Kita akan mempertimbangkan tuntutan (HINDRAF2.0) itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Perdana Menteri mengulas tuntutan HINDRAF 2.0 supaya kerajaan menyediakan tanah seperti tanah rancangan FELDA kepada kaum India yang berpendapatan rendah, selain membuka kemasukan UiTM kepada semua kaum.

Ketua Umum HINDRAF, P Uthayakumar, dilaporkan berkata mereka menuntut supaya UiTM yang diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan Melayu dibuka untuk semua kaum terutama kaum India dari golongan B75.

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menuntut kerajaan Pakatan Harapan menyediakan lebih banyak peluang kepada kaum India berpendapatan rendah untuk memperbaiki taraf hidup mereka, termasuk dengan pemberian tanah rancangan seperti Felda serta peluang pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

P. Uthayakumar mendakwa, langkah itu penting kerana sepanjang lebih 60 tahun negara ditadbir Barisan Nasional (BN), kerajaan sebelum ini gagal membangunkan kaum India yang ketinggalan berbanding kaum lain.

“UMNO mengamalkan politik dan polisi perkauman selain orang Cina yang menguasai sektor swasta menyebabkan kaum India berpendapatan rendah tersisih daripada pembangunan ekonomi negara.

“Kami mahu bergerak ke hadapan dan membantu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatasi masalah kemiskinan dalam kaum India,” katanya ketika ditemui semasa menyerahkan memorandum tuntutan itu kepada Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, Zawiyah Mohd. Yusof di Menara Ilham, di sini hari ini.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers