Ahad, 27 Mei 2018

Bapa Nur Alya Damia mahu bersemuka dengan suspek

SHARE
KLANG: "Jika diberi peluang dan kebenaran, saya ingin bersemuka sendiri dengan dia (suspek) untuk bertanya punca mengapa tergamak melakukan perbuatan itu ke atas Kak Long (anak).

"Semua perkara boleh dibawa berbincang dengan elok dan bukannya berakhir tragis sebegini."

Itu rintihan Mohd Hairi Jamil, 45, bapa Nur Alya Damia, 19, pelajar Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) yang ditemui mati dipercayai dibunuh bekas kekasihnya di Taman PD Permata, Port Dickson, malam kelmarin.

Menurut juruteknik tiga anak itu, nalurinya sebagai bapa kini bercelaru dan ingin mengetahui punca sebenar tindakan remaja lelaki berkenaan yang juga rakan sekuliah anaknya.

"Selama ini, saya tidak pernah sekali pun mengangkat tangan atau memukul Kak Long.

"Oleh itu, saya mahu menemui remaja berkenaan untuk bertanya dan hati ini tidak akan tenang selagi tidak mendengar dari mulutnya sendiri.

"Saya juga tidak mahu mempercayai berita atau maklumat di internet mengenai kes ini yang tidak dipastikan kesahihannya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Apartment Amazing Heights, Sungai Udang di sini, hari ini.


MOHD Hairi serta isteri, Hanaiati serta anak, Muhammad Nifael (dua dari kiri) dan Muhammad Nabil menunjukkan baju raya milik Nur Alya. - Foto Faiz Anuar
Kata Mohd Hairi, dia hanya akan berbuat demikian jika diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa dan tidak berniat mengganggu proses siasatan.

"Kini, kami sekeluarga masih terkejut dengan apa yang berlaku dan sedang menguruskan surat kematian mangsa serta dokumen berkaitan," katanya yang tidak begitu mengenali suspek dan hanya dimaklumkan oleh isteri, Hanaiati Yakub, 45, bahawa Kak Long ada berkawan dengan remaja itu sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, hatinya juga pilu melihat baju kurung raya Kak Long yang sudah dibelinya pada awal bulan ini.

"Mengikut perancangan, kami mahu memakai pakaian hijau tua sedondon pada Aidilfitri nanti dan saya memang membelinya lebih awal.

"Selain itu, saya bercadang menghadiahkannya sebuah kereta bagi memudahkan dia menjalani latihan amali dan menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Rangkaian Komputer.

"Namun, semuanya kini hanya tinggal kenangan dan kami hanya mampu reda dengan ketentuan Ilahi," katanya sebak mengenangkan anak sulungnya itu yang gemar berbuka puasa dengan roti john dan masakan isterinya.

Semalam, polis menahan seorang penuntut KVPD berusia 19 tahun, dipercayai bekas teman lelaki kepada pelajar perempuan yang dibunuh sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan itu, di rumahnya di Taman PD Idaman, Lukut kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa ditemukan.

Siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumah sewanya di Taman PD Idaman selepas dijemput suspek dengan menaiki Proton Wira dan mereka dikatakan ke satu lokasi berdekatan taman perumahan itu.

Berlaku perselisihan faham di dalam kereta sehingga mangsa dicekik oleh suspek selama beberapa minit yang menyebabkan kematiannya.

Menyedari mangsa sudah meninggal dunia, suspek yang ketakutan mencampakan mayat remaja itu di tepi jalan di Taman PD Permata sebelum ditemui orang awam.

Jenazah Nur Alya Damia selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, di sini, lewat petang semalam.-Berita Harian
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers