Jumaat, 25 Mei 2018

Budi bicara Raja selesai kemelut MB Perlis

SHARE
KUALA LUMPUR: Budi bicara Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memperkenankan pelantikan calon Menteri Besar baharu, antara mekanisme penyelesaian terhadap krisis Perlembagaan di negeri itu.

Kemelut itu juga dijangka boleh diselesaikan jika Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man memperoleh perkenan Raja Perlis untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan undi tidak percaya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pakar Perlembagaan yang juga Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata pelantikan jawatan Menteri Besar adalah mengikut perkenan dan hemat Raja Perlis.

Namun, sekiranya dinyatakan tiada kepercayaan terhadap Menteri Besar sedia ada, undi tidak percaya perlu dikemukakan dan dipersembahkan kepada Raja Perlis.

"Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis Artikel 39 (2)(a), pelantikan Menteri Besar perlu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Bagaimanapun, sekiranya Menteri Besar terbabit hilang kepercayaan, undi tidak percaya boleh diusulkan dan Menteri Besar harus meletak jawatan berdasarkan Artikel 39 (6) melainkan DUN dibubarkan oleh Raja atas permintaan Menteri Besar," katanya ketika dihubungi.

Shamrahayu berkata, krisis yang berlaku di Perlis kini pernah berlaku di Terengganu pada 2008 apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tidak perkenan pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.

"Walaupun Idris mendapat sokongan majoriti ADUN BN ketika itu, baginda hanya memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

"Ini yang berlaku di Perlis sekarang. Baginda Raja Perlis tidak memberi perkenan untuk melantik Menteri Besar seperti dicadangkan BN Perlis," katanya.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya, Datuk Ismail, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, Timbalannya, Azlan yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan cadangan itu.

Susulan itu, Raja Perlis memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan tujuan baginda memanggil mereka adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/429857/budi-bicara-raja-selesai-kemelut-mb-perlis#cxrecs_s

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers