Ahad, 13 Mei 2018

Ekonomi Negara Positif Susulan Peralihan Kuasa Lancar - KWSP

SHARE
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal optimis dengan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang susulan penubuhan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam kenyataan, dana persaraan itu menjangka sebarang kemungkinan kejatuhan pasaran jangka pendek akan menyediakan peluang pelaburan yang lebih untuk pasaran domestik.

"Kami telah lama melabur di negara ini dan percaya asas ekonomi negara akan kekal kukuh.

"Ketidaktentuan jangka pendek adalah sesuatu yang dijangka memandangkan negara, buat kali pertama, mengalami peralihan kuasa.

"Namun proses peralihan kuasa yang lancar setakat ini berupaya meyakinkan pelabur akan kematangan demokrasi dan ekonomi Malaysia." kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Sharil berkata, saranan kerajaan baharu agar institusi tempatan terus meningkatkan penambahbaikan tadbir urus korporat, seiring dengan tahap kawal selia yang lebih tinggi oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, akan memberi kesan yang baik kepada persekitaran perniagaan tempatan.

Beliau mengesahkan KWSP akan terus melabur berdasarkan prinsip pelaburan sedia ada dan parameter risiko yang ditetapkan.

Katanya, dana itu sentiasa menumpukan kepada memberi pulangan kepada ahlinya sebanyak dua peratus melebihi kadar inflasi dan strategi pelaburan yang sentiasa fokus kepada aset dan syarikat yang boleh menepati objektif ini.

"Kami berasa sukacita kerana manifesto kerajaan baharu ini secara tidak langsung menyokong visi KWSP untuk memberikan masa depan yang lebih baik kepada 13.7 juta ahli kami.

"Kami mengalu-alukan fokus kerajaan untuk terus memperbaiki rangka kerja gaji minimum dan menggalakkan simpanan secara sukarela terutamanya untuk golongan suri rumah," katanya. - BERNAMA



"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers