Khamis, 24 Mei 2018

Harga kelapa turun 25 sen

SHARE

BATU PAHAT: Harga kelapa mencatat penurunan 25 sen sebiji sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri kali ini, berikutan kemasukan banyak kelapa dari Indonesia.

Pengurus Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Batu Pahat, Musa Abdul Kahar, berkata penurunan harga kelapa disebabkan kemasukan kira-kira tiga juta biji kelapa import bersamaan 3.3 juta tan dari Indonesia ke dalam negara sempena musim perayaan kali ini, di samping musim kelapa tempatan yang sedang mengeluarkan hasil.

Katanya, penurunan harga kelapa di pasaran sepanjang Ramadan dan Aidilfitri jarang berlaku sebelum ini, terutama menjelang musim perayaan berikutan permintaan tinggi.

"Penurunan harga kelapa di pasaran sepatutnya bermula awal Ramadan berikutan kemasukan kelapa import secara besar-besaran bagi menstabilkan, harga selain memenuhi permintaan menjelang musim perayaan.

"Ini bermakna harga sebiji kelapa sepatutnya antara RM1.80 sehingga RM2.20 di pasaran berbanding antara RM2.80 sehingga RM3 sebiji sepanjang Ogos 2017 hingga Januari lalu.

"Ketika itu musim kelapa melawas (tidak berbuah) di samping kekurangan Permit Import (AP) kelapa dikeluarkan.

"Harga 1,000 kilogram atau satu tan kelapa sekarang kira-kira RM700 atau bersamaan 70 sen sekilogram berbanding antara Ogos 2017 hingga Januari lalu yang mencecah antara RM1,100 hingga RM1,200 atau bersamaan RM1.10 sehingga RM1.20 sekilogram.

"Sehingga kini, sebanyak 1.6 juta tan kelapa dari Indonesia untuk kegunaan Semenanjung dibawa masuk menerusi pelabuhan di Batu Pahat serta Pahang bermula awal Ramadan dan dijangka selesai pada minggu akhir Ramadan," katanya kepada NSTP ketika membuat pemeriksaan kemasukan kelapa di Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat, hari ini.

Mengenai harga sebiji kelapa yang dilaporkan mahal sehingga mencecah RM3 sebiji di Kuantan, Pahang minggu lalu, Musa berkata, tiada sebab ia berlaku kerana bekalan dari Indonesia turut dibawa ke sana.

"Hanya sebahagian Perak dan Selangor yang banyak menggunakan kelapa tempatan dari Bagan Datuk dan Hulu Selangor serta tidak terlalu bergantung kelapa import," katanya.

Musa berkata, stok kelapa yang dibawa masuk dari Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat dihantar dan diagihkan ke Pusat Agihan FAMA di Alor Setar, Kedah; Pusat Agihan FAMA di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Gopeng, Ipoh; Senawang, Negeri Sembilan; Melaka dan Batu Pahat, Johor

Beliau berkata, pengagihan yang dijangka selesai pada minggu akhir Ramadan itu bagi membolehkan stok kelapa disimpan untuk kegunaan pada dua minggu musim Aidilfitri ini berikutan kemasukan dari Indonesia disambung semula selepas 10 hari cuti Aidilfitri.

Katanya, semua kelapa import dibawa masuk menerusi lebih 40 kapal dan tongkang kecil dari Kepulauan Riau, Indonesia seperti Bengkalis, Guntong, Penjuru, Tanjung Samak serta Palembang sebelum tiba di Batu Pahat.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers