Tuesday, 22 May 2018

Isu 1MDB: Najib tarik balik saman terhadap Dr Ling

SHARE
KUALA LUMPPUR, 22 Mei: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkannya terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik berhubung penerbitan artikel dalam satu portal berita yang mendakwa bekas perdana menteri itu menyalah gunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Darryl Goon Siew Chye yang kemudiannya merekodkan persetujuan bersama untuk menarik balik saman tersebut.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Ranjit Singh mewakili Dr Ling.

Ditanya pemberita mengenai alasan penarikan balik saman itu, Mohd Hafarizam berkata beliau telah menasihatkan anak guamnya menarik balik saman itu berikutan perubahan landskap politik negara dan banyak perkara lain yang lebih utama perlu diuruskan.

Sementara itu, Ranjit berkata mahkamah membatalkan saman Najib tanpa kebebasan untuknya memfailkan semula saman dan turut memerintahkan Anggota Parlimen Pekan itu membayar kos sebanyak RM25,000.

Ranjit berkata anak guamnya (Dr Ling) turut menarik balik tuntutan balas yang difailkan pada 14 Dis 2015 terhadap Najib tanpa kebebasan untuk bekas presiden MCA itu memfailkan semula saman.

Pada 27 Okt 2015, Najib atas kapasiti peribadi telah memfailkan saman terhadap Dr Ling selepas mendakwa bekas Menteri Pengangkutan itu telah membuat kenyataan yang berbaur fitnah terhadapnya dalam satu artikel yang disiarkan dalam portal berita itu pada 3 Okt 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib berkata Dr Ling secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini dengan mendakwa kenyataan oleh Dr Ling membawa maksud beliau (Najib) telah menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Pada 18 Julai 2016, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk mengetepikan afidavit Tun Dr Mahathir Mohamad yang difailkan untuk menyokong permohonan Dr Ling bagi membatalkan saman tersebut.

Manakala pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Dr Ling untuk membatalkan saman yang difailkan Najib.– Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers