Tuesday, 29 May 2018

Jangan Ganggu Kedudukan UiTM

SHARE

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengingatkan semua pihak supaya tidak mengganggu kedudukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai institusi pengajian khusus bagi orang Melayu dan Bumiputera.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata status UiTM sepatutnya dilihat sebagai mengimbangi kedudukan Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak tidak wajar mengemukakan permintaan menuntut kelonggaran untuk golongan bukan Bumiputera diterima masuk ke UiTM.


"Pusat pengajian seperti UiTM memberi peluang dan ruang kepada anak Bumiputera mendapat akses pendidikan bagi mengubah kedudukan kaum Bumiputera, selain mengimbangi kedudukan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

"Ketika ini, Bumiputera masih jauh terpinggir dan wujud jurang lebar khususnya dalam penguasaan pendidikan serta ekonomi.

"Bagi mengimbangi kedudukan dan penguasaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam pelbagai bidang, adalah wajar bagi kerajaan meneruskan dasar membantu Bumiputera, khususnya dalam bidang pendidikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas permintaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) supaya kerajaan membuka kemasukan UiTM kepada semua kaum.

Ketua Umum HINDRAF 2.0, P Uthayakumar, dilaporkan meminta UiTM yang diwujudkan khusus untuk Melayu dan Bumiputera dibuka kepada semua kaum terutama kaum India dari golongan B75.

Memorandum mengandungi tuntutan itu diserahkan kepada kerajaan menerusi Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

Zambri berkata, kewujudan UiTM adalah sebahagian daripada keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Tidak wajar bagi mana-mana pihak cuba menukar sebarang dasar, khususnya berkaitan UiTM, melainkan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang bertanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk isu pendidikan," katanya.-Berita Harian
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers