Ahad, 27 Mei 2018

KPDNKK pastikan harga barang turun 1 Jun

SHARE
KOTA BHARU 27 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri memberi jaminan akan memastikan barangan yang dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) turun harga mulai 1 Jun ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Firdus Zakaria berkata, pihaknya setakat ini sudah melakukan pemeriksaan di 50 premis perniagaan yang berdaftar di bawah GST di negeri ini khususnya sektor peruncitan untuk membuat dokumentasi harga.


Beliau berkata, maklumat harga tersebut akan digunakan semasa pemantauan pada 1 Jun bagi menentukan sama ada peniaga sudah menurunkan harga sebanyak enam peratus atau tidak.

“Proses peralihan ini mungkin mengambil masa kerana peniaga terpaksa membuat harga baharu selain membabitkan barangan stok lama.

“Amaran akan dikeluarkan kepada peniaga yang tidak menurunkan harga dan kami akan mengambil tindakan sekiranya barangan stok baharu dijual pada harga lama.

“Pengguna yang membeli barangan dikenakan GST tetapi kekal dijual pada harga lama boleh membuat aduan dan kami akan buat siasatan dan pastikan peniaga membayar balik kepada mereka,” katanya selepas melakukan pemantauan di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.

Firdus menegaskan, peniaga juga tidak wajar mengambil kesempatan membuat manipulasi harga dalam tempoh peralihan ini kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011

Baru-baru ini, Kementerian Kewa­ngan mengeluarkan kenyataan bahawa GST terhadap barangan dan perkhidmatan sama ada buatan Malaysia atau yang diimport akan dikenakan kadar sifar peratus berbanding 6 peratus, berkuat kuasa 1 Jun ini. - UTUSAN ONLINE

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers