Sunday, 20 May 2018

Lelaki maut langgar belakang lori getah

SHARE
ALOR SETAR: "Bunyi dentuman sangat kuat dan saya terus memberhentikan kereta untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak pemandu kereta itu diam dan kaku.

"Dalam keadaan gelap, sebelum itu saya nampak lori yang membawa muatan getah baru membuat pusingan U dan beredar dari situ," kata saksi yang enggan dikenali selepas menyaksikan kemalangan maut di hadapan stesen minyak BP dekat Jabi di sini, awal pagi tadi.

Saksi itu berkata, ketika itu orang ramai mula berhenti untuk melihat kemalangan itu tetapi tidak berani membantu pemandu kereta itu dan mereka menghubungi bomba serta ambulans.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya dipercayai melanggar bahagian belakang lori yang membawa muatan getah.

Mangsa, Ramli Ahmad, 52, dari Kampung Bukit Lada, Kubur Panjang, Pokok Sena dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian muka dan tersepit di tempat duduk pemandu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan II, Mihat Jaafar, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.19 pagi dan sepasukan jentera dari BBP Jalan Raja tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi disertai tujuh anggota dari BBP Jalan Raja dan dibantu lima anggota dengan sebuah jentera dari Alor Setar serta dua anggota dari sebuah lori tangki.

"Setibanya di lokasi didapati pemandu kereta Perodua Myvi itu tersepit manakala lori muatan getah itu tiada di tempat kejadian.

"Mangsa dapat dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi," katanya sambil menambah mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers