Isnin, 14 Mei 2018

Media Oren pencetus gelombang Pakatan Harapan, lapor media

SHARE
Jika anda ingin mencari pasukan manakah yang berada di belakang kejayaan Pakatan Harapan mencipta gelombang dalam pilihan raya ini, antaranya adalah Media Oren, lapor Malaysia Decides.

Menurut laman aplikasi berita itu, dari mengerah orang ramai ke sesuatu program, membuat siaran langsung program itu dan selepas itu menyebarkan kejayaannya, itulah kerja team Media Oren.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman mengaku kekalahan Umno disebabkan oleh pengaruh media sosial.

Kerja Media Oren mula menampakkan kejayaan bermula dengan program Jelajah Pakatan Harapan di seluruh negara lagi apabila program awal di Alor Setar dan Utan Aji, Perlis dibuat di penghujung Mac.

“Mula-mula kami sebarkan sebanyak mungkin jemputan Tun Dr Mahathir (Pengerusi PH) sendiri kepada penduduk di kawasan yang terlibat agar datang ke program ini melalui media sosial.

“Sasaran kami adalah mempastikan program ini mendapat sambutan dahulu.

“Selepas orang ramai datang memenuhi majlis, kami sebarkan pula kejayaan itu.

“Dari situlah gelombang dibentuk,” kata Helmi Radzuan, salah seorang pengarah Media Oren, lapor Malaysia Decides.

Menurut Helmi, antara kejayaan besar adalah Jelajah PH di Melaka apabila sebaran jemputan berjaya menyebabkan seluruh Melaka jam pada malam itu.

“Ia ditambah dengan kehadiran tokoh-tokoh baru, Rafidah dan Tun Daim malam itu.

“Ia menyebabkan gelombang merebak ke seluruh Melaka, negeri yang kecil dan tiada kampung terpencil berbanding Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis yang masih banyak kampung terpencil yang tidak sampai gelombang ini,” katanya.

Media Oren mempunyai lima kakitangan sepenuh masa di samping sukarelawan seperti Helmi dan 200 lagi di seluruh negara.

Selain menyebarkan gelombang ini, Media Oren juga banyak menerbitkan klip-klip video berdasarkan tema kempen yang diputuskan oleh AMANAH, rakan kongsi Pakatan Harapan.-Malaysia Dateline
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers