Tuesday, 22 May 2018

MoF selama ini bayar hutang 1MDB, kata menteri

SHARE
PUTRAJAYA, 22 Mei — Kementeian Kewangan (MoF) membayar obligasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak April tahun lepas, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata berdasarkan senarai pembayaran oleh MoF, bagi pihak 1MDB, berjumlah RM6.98 bilion, termasuk pembayaran yang dibuat kepada Petroleum Investment Company (IPIC) yang merupakan sebahagian daripada Perjanjian Penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion.


“Ini mengesahkan syak wasangka orang ramai bahawa 1MDB sebenarnya memperdaya rakyat Malaysia dengan mendakwa hutang itu dibayar menerusi ‘proses rasionalisasi yang berjaya’.


“Selama ini MoFlah yang membayar hutang 1MDB,” katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan

Beliau berkata senarai pembayaran setakat ini hanya melibatkan faedah, pembayaran kupon dan pendahuluan daripada IPIC.

“Ini belum mengambil kira berbilion ringgit hutang yang perlu dibayar mulai tahun 2022.

“Saya dimakumkan bahawa selain RM143.75 juta yang perlu dibayar pada akhir bulan ini, sejumlah RM810.21 juta faedah perlu dijelaskan antara bulan September dan November tahun ini,” katanya.

Lim yang sebelum itu mengadakan siri mesyuarat bersama semua pegawai kanan Perbendaharaan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa dan Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad, mengarahkan kajian mendalam dilakukan mengenai butiran hutang dan liabiliti 1MDB dan mencadangkan langkah untuk menyelesaikan krisis yang berlaku akibat skandal tersebut.

“Kami juga akan mengemukakan hasil semakan itu kepada pasukan petugas 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Menteri kewangan itu berkata antara perkara segera yang perlu diselesaikan ialah pembayaran faedah ke atas pinjaman 1MDB.

“Ini disebabkan RM143.75 juta perlu dibayar oleh 1MDB pada 30 Mei tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata Arul Kanda, yang dikekalkan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB hingga 30 Jun tahun ini, tetap mengatakan 1MDB mampu membayar obligasi hutangnya.

“Oleh itu saya mengarahkan Arul memberi taklimat untuk menjelaskan sama ada 1MDB mampu membayar jumlah itu, yang perlu dibayar minggu depan,” katanya.

Lim juga mahu menemui ahli lembaga pengarah 1MDB, Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob, bagi memberi taklimat kepada MoF mengenai kedudukan 1MDB. — Bernama

https://www.projekmm.com/s/1633729/mof-selama-ini-bayar-hutang-1mdb-kata-menteri
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers