Friday, 25 May 2018

MUBARAK Perlis bidas Shahidan derhaka

SHARE
KANGAR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Perlis membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahidan Kassim yang disifatkan sebagai menderhaka kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Yang Dipertua MUBARAK Perlis, Datuk Bahari Taib menyifatkan kenyataan Shahidan yang dilihat keterlaluan pada sidang media di ibu negara pagi tadi, sejurus perlantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua pagi tadi.

Bahari berkata, Shahidan bersama sembilan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri itu tidak sepatutnya memboikot majlis pelantikan Azlan yang diadakan di Istana Arau hari ini.

"Kuasa melantik Menteri Besar Perlis adalah ditentukan Tuanku Raja Perlis mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri.

"Sepatutnya pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar bukanlah satu isu kerana sebelum pelantikannya, pemangku Presiden BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan pemangku Timbalan Presiden BN sudah bertemu Raja Perlis bagi membincangkan perkara ini," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis di sini.

Bahari berkata, sepanjang pengalamannya berkecimpung dalam politik, beliau bersama ADUN lain tidak pernah mempertikaikan keputusan dikeluarkan Raja Perlis.

"Sebelum membuat apa-apa kenyataan, Shahidan seharusnya berbincang terlebih dulu dengan BN Pusat.

"Tindakan sembilan ADUN yang tidak hadir pada majlis pelantikan Azlan juga tidak menghormati istana kerana mereka sudah diberikan kad jemputan dua hari sebelum majlis berlangsung.

"Mereka (sembilan ADUN) lebih mendahulukan jemputan daripada Pengerusi BN negeri untuk ke Kuala Lumpur berbanding jemputan daripada baginda dan tindakan ini seolah-olah merendahkan martabat institusi raja negeri ini," katanya.

Beliau berkata, pemecatan Azlan daripada UMNO dan BN negeri tidak sah kerana ia diumumkan oleh Shahidan.

"Sepatutnya pemecatan Azlan diumumkan pucuk kepemimpinan BN Pusat, bukannya Pengerusi BN negeri.

"Jadi, setakat ini, pengumuman pemecatan beliau (Azlan) itu tidak sah selagi tiada pengumuman daripada BN Pusat," katanya.

Terdahulu, NSTP melaporkan Azlan Man mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis pagi semalam tanpa kehadiran sembilan ADUN BN.

Ketiadaan mereka menimbulkan persoalan kemungkinan kemelut pelantikan Menteri Besar negeri ini belum selesai sepenuhnya.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut menzahirkan kemurkaannya dengan tindakan sembilan ADUN berkenaan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/429828/mubarak-perlis-bidas-shahidan-derhaka
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers