Khamis, 31 Mei 2018

Musa Aman di London?

SHARE
KOTA KINABALU: Seorang pengguna laman sosial Facebook mendakwa melihat kelibat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman di Stesen Keretapi St Pancras International, London.

Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Az Eem itu turut memuatnaik video berdurasi 10 saat yang turut tular sejak 13 jam lalu.

Video itu yang dimuatnaik beberapa jam lalu yang bertarikh hari ini dengan kapsyen: 'Ex-cm Sabah spotted at St. Pancras, London. Rafizi Ramli INVOKE Malaysia' atau bekas CM (Ketua Menteri) Sabah dilihat di St Pancras, London.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika individu yang memakai jaket merah dan topi itu dengan troli bagasinya serta ditemani seorang individu dan anak kecil itu adalah Musa.

Sebelum ini, ada yang mendakwa Musa lari ke London namun ia tidak dapat dipastikan.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Musa dikesan tidak mengikut sistem dan undang-undang Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi urusan keluar masuk di negara ini jika benar beliau kini berada di luar negara.

Mustafar dilaporkan berkata, berdasarkan rekod jabatan itu, kali terakhir Musa keluar negara dari Lapangan Terbang Subang pada 10 April lalu jam 8.02 malam menggunakan pasport diplomatik dan tiada rekod masuk dan keluar semula dalam sistem rekod yang ada.

Sebelum ini, berdasarkan rekod, Musa dikesan berlepas ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Malindo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 9 pagi, 14 Mei lalu.

Beliau dikatakan menghadiri mesyuarat parti dipengerusikan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini juga hadir di rumah Musa di sini, namun tidak dapat memasuki kediaman itu kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi usaha membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers