Thursday, 24 May 2018

Pas Kedah beri isyarat bersedia untuk pilihan raya negeri

SHARE

ALOR SETAR 23 Mei - Pas Kedah mengesa kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri sebagai panduan untuk merungkai permasalahan pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri yang tidak dapat disempurnakan walaupun setelah kerajaan negeri kini mempunyai barisan Exco.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, isu pelantikan tersebut sebenarnya boleh diselesaikan secara bijaksana oleh kerajaan negeri tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.


"Berikutan hal pelantikan speaker, ia bukanlah sesuatu yang kritikal tetapi memerlukan kebijaksanaan untuk menanganinya. Isu pelantikan speaker dan perjalanan dewan adalah medan untuk buktikan bahawa mereka benar-benar memiliki sokongan majoriti ahli dewan untuk menubuhkan kerajaan," katanya, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam meminta ahli dewan undangan negeri (ADUN) pembangkang Kedah agar merestui Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) pilihan Pakatan Harapan bagi mengelakkan pilihan raya negeri diadakan.

Katanya, Pakatan Harapan sewajarnya menyedari bahawa masalah ini sebenarnya ada di pihak mereka yang mendakwa mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Katanya, Pas sebelum ini menawarkan penyelesaian melalui "kerajaan perpaduan tanpa pembangkang" untuk mengatasi kebuntuan, namun dipandang sepi malah ditolak oleh pihak Menteri Besar.

"Sikap sedemikian jelas menunjukkan pihak Pakatan Harapan tidak bersedia meraikan pilihan rakyat yang memberikan kerusi 50-50 antara kerajaan dan pembangkang. Rundingan patutnya berlaku pada masa itu, bukan sudah terhantuk baru terngadah.

"Oleh itu, dengan pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang diamalkan, maka Pas bersedia untuk menerima keputusan dalam hal pelantikan jawatan speaker di Dewan Undangan Negeri melalui sidang belah bagi jika hal ini menjadi satu kenyataan," katanya.

Dalam pada itu satu surat rasmi dipercayai daripada Pas Kedah tular antaranya mengarahkan agar semua jenteranya bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan PRN akan diadakan. - UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-kedah-beri-isyarat-bersedia-untuk-pilihan-raya-negeri-1.678187#ixzz5GMG1Lkqf
© Utusan Melayu (M) Bhd
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers