Thursday, 24 May 2018

Pecat Azlan Man gambarkan sikap tidak professional

SHARE
KUALA LUMPUR 24 Mei - Pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Datuk Seri Azlan Man oleh Barisan Nasional (BN) Perlis menggambarkan satu sikap tidak professional yang perlu dielakkan.

Lebih-lebih lagi apabila sememangnya Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik sesiapa sahaja menjadi Menteri Besar di negeri tersebut.


Ujar perunding dalam sebuah firma penyelidikan politik , Dr. Ainul Adzellie Hasnul, konflik tersebut adalah sesuatu yang tidak bagus untuk tontonan rakyat.

“Sepatutnya kedua-dua pihak sama ada dari pihak parti yang memenangi kerusi dan pihak istana saling berkompromi memikirkan cara untuk meneruskan pembentukan kerajaan.

“Tambahan pula Perlis cuma sebuah negeri yang kecil sahaja dan sepatutnya mereka dapat mengikuti jejak negeri lain yang mampu bersepakat demi rakyat,” katanya kepada Utusan Online, hari ini.

Terdahulu, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak menghadirkan diri ke majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar pada pukul 11 pagi tadi sebelum dipecat serta-merta BN Perlis, petang ini.

Tindakan boikot tersebut berlaku dipercayai kerana Tuanku Syed Sirajuddin tidak melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim ekoran risau Menteri Besar yang dicadangkan akan menjadi boneka dan dikawal oleh kuasa luar.

Tambah Ainul lagi, masalah tersebut harus diatasi segera dan penghormatan ke atas raja yang memerintah perlu ada dalam kalangan pemimpin dalam negara ini.

“Sesuatu jawatan yang diberikan itu adalah amanah untuk mentadbir negeri dan rakyat seharusnya menerima manfaat yang lebih baik daripada pemimpin yang bijak,” katanya. - UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pecat-azlan-man-gambarkan-sikap-tidak-professional-1.678818#ixzz5GP97KQVz

"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers