Isnin, 28 Mei 2018

Pemandu Mabuk Langgar 4 Wanita

SHARE
BATU PAHAT: Dua wanita parah manakala dua lagi cedera apabila mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika menunggu pesanan burger selepas pulang dari Bazar Aidilfitri di Jalan Mohd Salleh, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, empat wanita berkenaan sedang berdiri di depan gerai burger di kawasan jalan yang dipenuhi ramai pengunjung Bazar Aidilfitri berhampiran.

Seorang mangsa yang parah dikenali sebagai Nurfarahim Elias, 28, dari Parit Haji Sidek, dekat sini, manakala seorang lagi wanita berusia lingkungan 25 tahun tidak membawa sebarang pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata semua mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat manakala pemandu terbabit dihantar ke Hospital Pantai Batu Pahat.

Katanya, ketika kejadian jalan berkenaan sibuk berikutan orang ramai mengunjungi Bazar Aidilfitri di kawasan itu.

"Kemalangan itu berlaku apabila pemandu pacuan empat roda yang dipercayai mabuk itu hilang kawalan dan masuk ke sebelah kanan jalan merempuh empat wanita yang berdiri di tepi kanan jalan serta gerai burger berkenaan, menyebabkan dua parah dan dua lagi cedera ringan.

"Berlaku sedikit kekecohan di antara orang ramai dengan pemandu apabila beberapa pengunjung mahu membelasahnya namun ia berjaya dihalang dan ditenteramkan orang ramai, " katanya ketika dihubungi NSTP.

Abdul Wahib berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu akan ditahan untuk siasatan lanjut.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers