Khamis, 31 Mei 2018

Sebahagian Ahli MIC Tidak Undi Barisan Nasional

SHARE
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang tersungkur di Parlimen Segamat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas mendedahkan sebahagian daripada ahli MIC sendiri tidak mengundi Barisan Nasional (BN) kali ini dalam satu majlis perjumpaan dengan pemimpin MIC Kedah baru-baru ini.

Menurut laporan akhbar harian Tamil Makkal Osai edisi semalam, Dr Subramaniam berkata setelah 60 tahun BN kalah buat pertama kali kerana kempen di media sosial yang terlalu hebat dan kuat yang digerakkan oleh parti pembangkang khususnya melalui rangkaian ‘WhatsApp’ dan telefon.

“Inilah puncanya BN kalah, apa yang BN tidak buat ? Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak membantu masyarakat India di negara ini, saya juga melalui MIC telah meberikan pertolongan lebih berganda. Hampir sebahagian ahli MIC tidak mengundi untuk BN Kali ini,” beliau dipetik seperti berkata oleh akhbar Tamil itu.

Dr Subramaniam juga dipetik berkata, hampir 72 tahun MIC telah menjadi parti tunggal mewakili masyarakat India di Malaysia, kini untuk tempoh lima tahun akan datang akan menjadi parti pembangkang di mana beliau menggesa semua ahli parti itu bertindak menunjukkan kekuatan mereka dalam menjamin harapan masyarakat India di negara ini. Beliau juga menyarankan semua ahli MIC bergiat aktif dalam kempen media sosial untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Baru-baru ini Dr Subramaniam juga dipetik berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada anggotanya untuk mengubah cara berpolitik selaras dengan peranan BN selaku pembangkang ketika ini.

Beliau berkata perubahan itu perlu agar MIC dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif selari dengan lanskap politik semasa bagi memastikan parti itu terus relevan dan diterima masyarakat India di negara ini.

“MIC kini berdepan cabaran politik yang amat besar yang menuntut perubahan dilakukan untuk membolehkan kita terus diterima,” kata bekas Menteri Kesihatan itu ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas kepada Menteri Kesihatan baharu Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Subramaniam tewas dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Segamat pada PRU14 dan telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Oktober depan.

Beliau membuat keputusan tersebut rentetan kekalahan teruk parti komponen BN itu dalam PRU14 yang menyaksikan parti kaum India itu hanya memenangi dua daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandingi.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 ulasan:

Google+ Followers