Tuesday, 29 May 2018

Shahidan utus surat pada Azlan minta lepas jawatan?

SHARE
KANGAR 29 Mei - Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dikatakan mengutus surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man meminta beliau melepaskan jawatan.

Menurut sumber, difahamkan surat tersebut dihantar kepada Azlan beberapa hari lalu bagi memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu perlu segera bertindak demikian kerana tidak mendapat sokongan wakil rakyat BN yang lain.

Kata sumber tersebut, kesemua ADUN itu sebenarnya tidak bersetuju Azlan dilantik sebagai Menteri Besar bagaimanapun mereka akur dan menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Apabila media bertanya mereka mengakui akur dan menjunjung perintah Raja Perlis. Namun mereka tidak menyatakan sokongan mereka terhadap Azlan,” katanya di sini hari ini.

Semalam tujuh Ahli Dewan Undangan ADUN BN yang tidak menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Pelantikan Menteri Besar di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, menyatakan pendirian menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Azlan diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, Timbalan Pengerusi UMNO negeri tersebut dipecat keahliannya daripada parti.

Sementara itu, ketika dihubungi, Shahidan mengakui mengutus surat kepada Azlan, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan isi kandungan surat itu.

Sebaliknya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu meminta pihak media bertanya kepada Azlan sendiri mengenai isi kandungan surat tersebut.

"Kalau awak nak tahu, hubungi tanya Azlan apa surat tu," katanya. - UTUSAN ONLINE


"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers