Monday, 28 May 2018

Speaker DUN Kedah: Mukhriz kena bincang peringkat part

SHARE
Ahmad Fakhruddin

ALOR SETAR 28 Mei - Pas Kedah mahu supaya isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) diselesaikan di peringkat parti-parti politik terlibat dan tidak hanya diputuskan menerusi perbincangan antara Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang semata-mata.

Pesuruhjayanya, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pertemuan antara Mukhriz bersama ADUN pembangkang adalah tidak memadai dengan beliau mencadangkan supaya kepemimpinan tertinggi komponen Pakatan Harapan, Pas dan Barisan Nasional (BN) negeri dapat duduk semeja bagi berunding mengenai isu tersebut.

“Pas akan terus bertegas berhubung isu pelantikan Speaker DUN ini yang mana setiap tindakan diambil perlulah mengikut kaedah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh negeri.

“ADUN hanyalah wakil kepada parti politik dan disebabkan itu kami mahu perbincangan mengenai pelantikan Speaker turut melibatkan rundingan antara kepemimpinan tertinggi di peringkat negeri parti-parti terlibat. Bagi Pas Kedah, kami bersedia ke arah itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada PRU-14 lalu, PH melalui empat parti komponennya iaitu PKR, PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP memperoleh 18 kerusi daripada keseluruhan 36 DUN yang dipertandingkan, manakala Pas memperoleh 15 dan tiga kerusi milik BN.

Keadaan itu memungkinkan akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali lagi sekiranya tiada persetujuan antara pihak kerajaan dan pembangkang berhubung pelantikan Speaker DUN.

Sementara itu dalam satu kenyataan, beliau berkata, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak memberi tekanan kepada pembangkang untuk hanya menerima cadangan daripada Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri mengenai siapa yang layak dilantik ke jawatan itu.

“Sebagai seorang pemimpin kerajaan negeri, sikap ditunjukkan itu adalah tidak profesional, tidak adil dan tidak matang.

“Bagi kami, cadangan supaya diadakan PRN hanya menampakkan kerapuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan serta rasa gelabah Menteri Besar berdepan dengan senario ini di mana kedudukan kerusi antara kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan pembangkang terikat kepada 18 kerusi,” katanya. - UTUSAN ONLINE
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers