Thursday, 31 May 2018

UMNO potong elaun pentadbiran, bukan gaji

SHARE
KUALA LUMPUR: UMNO memberhentikan penyaluran peruntukan elaun pentadbiran pejabat di peringkat bahagian di seluruh negara dan bukannya bayaran kepada ahli berkaitan seperti diuar-uarkan.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz, menyifatkan keputusan itu adalah percaturan kewangan parti terhadap kos 'overhead' atau tidak langsung yang sebelum ini disalurkan untuk menampung bebanan jentera.

"Pemotongan membabitkan kos penyelenggaraan pejabat dan 'overhead', bukan gaji kepada ahli, justeru tidak timbul sebarang isu kerana mungkin ada penjelasan tersendiri daripada kepemimpinan pusat.

"Ini mungkin sebahagian daripada langkah awal memandangkan kita dalam keadaan serba kekurangan, maka penjajaran semula terhadap kos berkaitan perlu dilaksanakan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima salinan surat berkenaan dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa lalu menerusi kiriman e-mel.

Johan berkata, kandungan surat itu antara lain memaklumkan peruntukan bulanan ke bahagian dan pergerakan sayap terpaksa ditamatkan mulai bulan ini, selepas meneliti kedudukan kewangan parti.

"Pada saya, kita perlu peka dengan makluman ini supaya meneliti pengurusan kos pada peringkat bahagian, selaras kedudukan kewangan parti," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkarnain Kamisan, yang menerima salinan surat berkenaan diedarkan menerusi aplikasi WhatsApp pula berkata, keputusan itu berkemungkinan dibuat Tengku Adnan tanpa mengadakan perbincangan dengan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Katanya, langkah sedemikian sewajarnya diketengahkan pada mesyuarat MT bagi mendapat reaksi menyeluruh, selain meneliti penyelesaian lain yang boleh diambil mengikut kesesuaian kedudukan kewangan parti.

"Saya tidak rasa ada perbincangan dengan MT. Ini (pemotongan peruntukan) Tengku Adnan yang buat keputusan," katanya.

Sementara itu, Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, ketika ditanya berhubung surat berkenaan hanya berkata: "Saya pun tak tahu, u (awak) tanya Ku Nan.".
 https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/432366/umno-potong-elaun-pentadbiran-bukan-gaji
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers