Thursday, 28 June 2018

Denda RM25 kerana berdansa depan masjid

SHARE
KOTA KINABALU: Dua pelancong China yang berkelakuan tidak senonoh dengan berpakaian seksi sambil menari di tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini, baru-baru ini, didenda oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Wan Han, 37, dan Zhang Na, 25, kedua-duanya guru tarian, masing-masing didenda RM25 selepas didakwa mengikut Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana berkelakuan tidak sopan di kawasan awam.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengenakan hukuman itu selepas kedua-duanya yang tidak diwakili peguam mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tembok masjid berkenaan pada jam 4.30 petang, 23 Jun lalu.

Ahad lalu, pengurusan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menutup kawasan masjid kepada semua pelancong asing, susulan tersebar video berdurasi 10 saat menunjukkan aksi tidak senonoh dua wanita sambil menari ala `K-pop' di tembok rumah ibadat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata dua pelancong wanita itu ditahan di lobi sebuah hotel di sini pada jam 11 pagi.

Katanya, siasatan dan tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki berumur 55 tahun mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahad lalu.

"Kedua dua wanita itu telah membuat pengakuan bahawa tindakan mereka adalah tanpa sebarang niat untuk mengaibkan kesucian tempat ibadat melainkan untuk hiburan semata-mata.

"Mereka memaklumkan akan pulang ke negara asal dengan penerbangan pada jam 8 malam ini," katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Chandra berkata, Konsul China di Kota Kinabalu telah dimaklumkan mengenai tangkapan dan siasatan terhadap kedua-dua wanita itu.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers