Thursday, 28 June 2018

'Kalau 20 tahun boleh tunggu, ni sikit saja lagi'

SHARE
SHAH ALAM: Penyanyi dan pelakon, Ziana Zain akan terus bersabar berdepan kemelut kes perceraiannya dengan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang belum mencapai kata putus.

Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin berkata, beliau akan mengikut prosedur ditetapkan mahkamah dan yakin semuanya akan berakhir dengan baik.

"Kalau 20 tahun saya boleh bersabar, jadi sikit lagi saya kena sabar," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Kemelut Di Muara Kasih ini ditemui selepas sebutan keputusan Jawatankuasa Pendamai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam di sini, pagi tadi.

Pada sebutan itu, Armin tidak hadir tanpa sebarang pemberitahuan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan Ziana dan Armin melakukan proses seterusnya iaitu pelantikan Jawatakuasa Hakam pada 12 Julai ini.

Ziana, 50, yang tampak tenang, memberitahu, beliau kurang sihat dan pening kepala, namun tetap hadir ke mahkamah.

Bercerita lanjut, bintang filem Maria Mariana itu positif dengan perkembangan kes perceraiannya. Ziana berharap suaminya bertanggungjawab menyempurnakan prosiding ini demi meneruskan kehidupan.

"Kalau kita ada tanggungjawab untuk satu sama lain, kita sepatutnya hadirlah (pada sidang mahkamah hari ini)," katanya.

Ziana turut berkongsi anak-anaknya berada dalam keadaan baik dan mereka sekeluarga menyambut Syawal dengan meriah.

"Raya tetap raya. Anak-anak semua gembira dan berada dalam keadaan baik.

"Terima kasih untuk semua peminat yang sentiasa mendoakan saya. Hanya Allah mampu membalas kebaikan mereka," katanya.

Ziana menambah, beliau mempunyai beberapa projek termasuk penghasilan single terbaharu, selepas ini.

Mendirikan rumah tangga pada Mei 1998, Armin dan Ziana dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam, di sini, selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara baik.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers