Thursday, 7 June 2018

KDN tunggu maklumat sebelum dakwa Jho Low

SHARE
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menunggu beberapa maklumat tepat sebelum memutuskan untuk menangkap dan mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low berhubung skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua sudah maklum bahawa Jho Low adalah penjenayah utama yang menjadikan skandal 1MDB sebagai skandal terbesar dunia namun, ada perkara yang perlu diselesaikan dulu sebelum sebarang tindakan seterusnya dapat diambil.

"Ada orang tanya saya kenapa Tan Sri tidak tangkap Jho Low. Saya jawab, kita sedang menunggu untuk mendapat maklumat tepat.

"Tunggu sedikit masa lagi. Saya sedar ada pihak tidak mahu tunggu dan mereka mahu tindakan tegas diambil segera terhadap individu berkenaan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, pagi ini.

Katanya, beliau juga sedar rakyat kini sedang mempersoalkan kenapa tiada tindakan diambil terhadap isu berkenaan selepas tiga minggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Muhyiddin berkata, beliau juga tidak mahu mendahului undang-undang, namun pada masa sama mahu individu yang dinamakan berhubung isu itu diambil tindakan tegas mengikut undang-undang kanun jenayah dan rasuah.

Menurutnya, sebarang usaha untuk membawa individu berkenaan ke muka pengadilan perlu disegerakan dan tidak boleh diketepikan.

"Kita juga perlu membantu pelbagai pihak termasuk Pasukan Petugas Khas 1MDB bagi melengkapkan siasatan.

"Kita perlu beri sepenuh kerjasama untuk bertindak terhadap pihak terbabit tanpa mengira bulu dan warna," katanya.

Pada 18 Mei lalu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, meminta Jho Low pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Daim dilaporkan berkata, Jho Low adalah individu terpenting dan utama bagi membantu siasatan 1MDB.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers