Monday, 4 June 2018

Kesuraman pasaran kewangan Malaysia bakal kembali cerah

SHARE
KUALA LUMPUR: Pembetulan dalam pasaran kewangan ketika ini dijangka berlarutan sekurang-kurangnya bagi tempoh beberapa bulan lagi, namun dengan dasar-dasar kerajaan yang semakin tampak jelas, situasi suram ini diunjur kembali pulih seperti biasa.

Rabu lalu, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 56.56 mata untuk ditutup kepada 1,719.28, paras terburuk yang dicatatkan sejak 2008.

Ringgit menyusut 1.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), diseret turun faktor luaran lain seperti kenaikan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan, memberitahu BERNAMA situasi itu "pada dasarnya adalah normal."

"Perkara yang sama berlaku pada 2008 apabila Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga semasa pilihan raya.

"Indeks KLCI turun kira-kira 9.8 peratus beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12. Bagaimanapun, ia melonjak semula kepada 16 peratus selepas enam bulan kemudiannya, dan kami menjangkakan peluang yang sama kali ini," katanya.

Menjelang September, Nazri berkata, akan ada lantunan semula beransur-ansur dalam pasaran, apabila keyakinan pelabur kembali semula ke negara ini sebaik saja Kabinet baharu menggariskan dasar-dasarnya.

"Tidak ada kejelasan dalam dasar daripada kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi saya rasa apabila dasar menjadi semakin jelas, perlahan-lahan dana asing akan kembali semula," katanya.

Beliau berkata, pembetulan dalam pasaran adalah mendadak dan dramatik.

"Saya unjur FBM KLCI akan ditutup pada 1,950 menjelang akhir tahun ini dan mencecah paras 2,000 pada akhir 2019," kata Nazri, yang juga Ketua Pegawai Pelaburan syarikat itu.

Pada Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 15.76 mata untuk ditutup kepada 1,756.38, apabila pelabur mula memperlihatkan keyakinan dagangan selepas kerajaan mengumumkan langkah-langkah ekonominya.

Dalam nota penyelidikannya, Maybank Investment Bank berkata Mei menyaksikan jualan bersih besar-besaran ekuiti Malaysia oleh pelabur asing berjumlah RM5.6 bilion, yang menongkah arus daripada belian bersih asing terkumpul RM3.5 bilion semasa tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway, Prof Yeah Kim Leng, berkata aliran masuk asing dijangka pulih perlahan-lahan dalam separuh kedua 2018 kerana ketika ini kombinasi faktor luar dan dalaman membawa kepada peningkatan aliran keluar asing ke tahap tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Beliau berkata, pelabur asing dilihat keluar dari negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, apabila mereka beralih ke ekonomi dengan kenaikan kadar faedah luar negara yang konsisten.

Bagaimanapun, Yeah yakin pelaburan asing akan meningkat dalam separuh kedua tahun ini, kerana premium risiko negara yang disebabkan oleh perubahan dasar dan politik akan semakin reda. - BERNAMA
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers