Friday, 22 June 2018

Monopoli punca ubat di M'sia terlalu mahal - Santiago

SHARE
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud unsur monopoli dalam pemberian tender pembekalan ubat-ubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Charles Santiago 
Beliau mendakwa kegiatan itu berlaku antara 2013 hingga 2016 membabitkan dana kerajaan bernilai RM3.7 bilion hingga RM4.8 bilion.

Katanya, 13 dokumen setebal 150 muka surat dikemukakan dan mengandungi nama pemimpin politik, pegawai KKM serta individu yang dipercayai menjadi ejen atau orang tengah kepada tiga syarikat farmaseutikal yang didakwa memonopoli pembekalan ubat-ubatan berkenaan.

"Syarikat farmaseutikal ini juga mempunyai kaitan dengan syarikat farmaseutikal antarabangsa yang terkenal.

"Justeru, saya mohon SPRM menyiasat syarikat-syarikat ini dan individu-individu yang dinamakan dalam dokumen yang saya serahkan tadi. Malah ada nama ahli politik ini yang pernah didakwa kerana kesalahan rasuah.

"Tindakan pegawai kerajaan menjadi ejen secara terang-terangan juga melanggar undang-undang SPRM," katanya selepas membuat laporan itu di pejabat SPRM Selangor, di sini, hari ini.

Charles mendakwa kewujudan ejen itu antara punca harga ubat dalam negara terlalu mahal dan dinisbahkan antara 30 hingga 148 peratus jika dibandingkan dengan negara luar seperti Australia.

"Sebagai contoh, harga ubat kanser di sini adalah RM2,000 hingga RM9,000, harga ini adalah amat tinggi terutamanya bagi pesakit yang berpendapatan rendah.

"Ia membabitkan dana awam bernilai bilion ringgit dan disalah guna untuk kepentingan orang tertentu," katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers