Monday, 25 June 2018

Noraini, Asyraf, Zahida teraju tiga sayap Umno

SHARE
KUALA LUMPUR, 24 Jun ― Umno hari ini mengumumkan senarai pimpinan baharu pergerakan tiga sayap parti itu yang menyaksikan antara lain Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad dipilih sebagai Ketua Wanita Umno bagi penggal 2018-2021.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut mengumumkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno manakala Datuk Zahida Zarik Khan dipilih menjadi Ketua Puteri Umno yang baharu.

Ab Rauf berkata proses pemilihan berjalan lancar cuma terdapat kelewatan kerana hasil pengundian di bahagian-bahagian Umno, lambat dimasukkan ke dalam sistem yang disediakan.

“Kita (ibu pejabat) kena teliti keputusan-keputusan daripada semua negeri. Ibu pejabat kena pastikan kesemua keputusan disahkan daripada setiap lapisan sebelum boleh dikira dan dijumlah kesemuanya,” kata beliau pada sidang media di sini, malam ini.

Perwakilan daripada 191 Bahagian Umno, masing-masing menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu dengan didahului mesyuarat perwakilan bermula pagi Sabtu dan berakhir tengah malam Sabtu.


Noraini yang merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Parit Sulong mengalahkan dua lagi pencabarnya, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Azizah Mohd Dun dan bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman untuk menggantikan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Keputusan pemilihan sayap itu juga menyaksikan Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim dipilih sebagai Naib Ketua Wanita yang baharu.

Asyraf Wajdi pula menewaskan lapan pencabarnya untuk menduduki kerusi yang disandang bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau bakal bergandingan dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan yang diumumkan sebagai Naib Ketua Pemuda Umno baharu selepas turut berjaya menewaskan lapan calon lain.

Sementara Zahida yang merupakan bekas Naib Ketua Puteri Umno menewaskan Nor Hazreena Mohamad Hashim dalam pertembungan satu lawan satu.

Jawatan Naib Ketua Puteri Umno pula disandang Nurul Amal Mohd Fauzi yang menewaskan empat calon lain.

Ab Rauf berkata maklumat penuh mengenai jumlah pengundian dan juga keputusan selain yang diumumkan itu boleh didapati dalam laman web Umno; www.umno-online.com.

Anggota perwakilan bagi pemilihan Umno 2018 akan mengundi bagi memilih pimpinan tertinggi parti pada 30 Jun ini, melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota majlis tertinggi yang baharu.

Lima calon disahkan bertanding jawatan presiden iaitu Naib Presiden Umno yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Raza­leigh Hamzah; bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin; Anggota Jawatankuasa Umno Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota Umno Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin.

Sementara jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Anggota Dewan Undangan Negeri Rantau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Umno merangkap Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa. ― Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers