Monday, 4 June 2018

N.Sembilan akan kenal pasti pegawai kerajaan bantu kempen BN

SHARE
SEREMBAN, 4 Jun: Kerajaan negeri akan mengenal pasti pegawai kerajaan yang terlibat dalam kempen menyokong Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya bagi tindakan selanjutnya, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau berkata pihaknya kini sedang meneliti individu-individu terbabit namun tindakan akan dibuat selepas perbincangan dalam mesyuarat yang akan diadakan kelak.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beri kenyataan yang agak keras mengenai golongan ini dan kita di Negeri Sembilan turut mengkaji isu ini secara keseluruhan.

“Kita akan memerhatikan pegawai terbabit. Kita lihat dulu keputusan perdana menteri terhadap pegawai kerajaan terbabit dan kita akan mengambil tindakan yang selaras,” katanya kepada pemberita di kediaman rasminya di sini, semalam.

Aminuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir kelmarin bahawa kerajaan sangsi terhadap kesetiaan pegawai kerajaan yang terbabit berkempen untuk BN pada pilihan raya lepas kerana keadaan itu mengganggu pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, beliau akan meminta isteri-isteri pegawai kerajaan yang hadir majlis khatam al-Quran anjuran kepimpinan lama Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan semalam agar memberi penjelasan.

“Walaupun ia satu program yang baik, apabila sensitiviti kepimpinan utama tidak dijaga ia menunjukkan satu perkara yang tidak baik daripada pegawai kanan kerajaan.

“Saya mengharapkan bahawa perkara ini tidak lagi berlaku… program yang diadakan semalam terang-terang di bawah kepimpinan yang lama,” katanya.—Bernama
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers