Saturday, 2 June 2018

Ringgit dijangka pada aliran penurunan minggu depan

SHARE
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berada pada aliran penurunan minggu depan, diniagakan antara RM3.96 dan RM3.99 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan pelabur menantikan pengumuman angka perdagangan luaran yang dijadualkan pada awal minggu depan.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei dan laporan Imbangan Perdagangan yang terkini akan diumumkan pada Isnin dan Selasa.

Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, unit tempatan dijangka terus berada di bawah tekanan dalam masa terdekat berikutan ketidaktentuan berhubung ketegangan perdagangan global dan pembangunan geopolitik di Kesatuan Eropah (EU).

"Bagaimanapun, harga komoditi yang stabil dan lebih baik itu akan membantu menyokong ringgit.

"Pada peringkat domestik, hala tuju dasar yang lebih jelas terutama dari aspek fiskal akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur. Kami menjangka semua petunjuk makroekonomi yang utama akan terus meyakinkan," katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, minggu depan dijangka menjadi satu lagi tempoh yang sibuk bagi pasaran kewangan berikutan pengumuman mengenai data ekonomi pada peringkat domestik.

"Ini bermakna ringgit dijangka lebih tidak menentu pada minggu-minggu akan datang. Pelabur dilihat tidak memasuki pasaran berikutan mereka melihat kepada petunjuk mengenai momentum ekonomi Malaysia yang dibawa ke suku kedua tahun ini.

"Jika kedua-dua bacaan mengatasi jangkaan, terdapat keyakinan ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus pada suku kedua," katanya.

Tambah beliau, di tempat lain, risiko politik yang berterusan di dunia Barat masih mempunyai potensi untuk mencatat ketidaktentuan dalam mata wang pasaran sedang pesat membangun, yang akan mendorong pelabur untuk lebih berhati-hati.

"Kekurangan minat untuk mengambil risiko daripada pelabur dilihat sebagai ancaman paling ketara kepada ringgit yang berpotensi untuk susut di bawah paras 4.00 berbanding dolar AS," katanya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, unit tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 3.9770/9800 daripada 3.9790/9830.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9728/9761 daripada 2.9721/9753 dan susut berbanding Yen kepada 3.6393/6430 daripada 3.6348/6391.

Bagaimanapun, unit tempatan mengukuh berbanding Pound British kepada 5.2902/2946 daripada 5.3128/3197, dan naik berbanding Euro kepada 4.6551/6594 daripada 4.6606/6665 sebelum ini. - BERNAMA
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers