Thursday, 28 June 2018

RM180 sebotol air campur ekstasi

SHARE
KUALA LUMPUR: Campuran dadah jenis ekstasi dalam botol minuman jenama terkenal menjadi modus operandi dua individu di Pandan Indah, di sini, sejak empat bulan lalu.

Hasil risikan polis Ampang Jaya berjaya menumpaskan operasi dadah berkenaan kelmarin, yang memfokuskan 'taktik' jualan di pusat hiburan sekitar Cheras dan Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan wanita Thailand yang juga sepasang kekasih masing-masing berusia lingkungan 30-an.

Katanya, suspek ditahan bersama 50 pil Erimin 5, 20 paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu dan 10 pil ekstasi berwarna kuning.

"Turut dirampas, lapan pil ekstasi warna hijau, dua pil ekstasi warna merah jambu dan satu botol minuman jenama terkenal berisi cecair disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi.

"Air minuman itu dijual RM180 sebotol, manakala satu paket kecil ekstasi dijual antara RM180 hingga RM200 setiap satu, ia mampu dicampurkan di dalam tiga botol minuman itu.

"Semua barang kes ditemui ketika kita menahan dua suspek berkenaan di dalam sebuah kereta di tepi jalan di kawasan Pandan Indah, kelmarin.

"Susulan itu, kita menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk 120 pil Erimin 5, 68 pil ekstasi dan 45 paket plastik lutsinar mengandungi syabu.

"Nilai rampasan dadah secara keseluruhan berjumlah RM20,820," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua suspek itu direman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 13(2) dan Seksyen 15(1)(a).

Dalam serbuan berasingan, Hamzah berkata pihaknya menahan tiga perempuan dan seorang lelaki bersama dua paket ketulan mampat daun kering dipercayai ganja, di Ampang, semalam.

"Salah seorang perempuan itu berusia 15 tahun dan tidak bersekolah, manakala suspek lain berusia lingkungan 30-an.

"Ketulan ganja itu yang dianggarkan seberat dua kilogram itu bernilai RM5,000.

"Suspek yang direman hari ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers