Sunday, 3 June 2018

Umno: Kami semua salah, ‘terlalu takut’ tegur Najib skandal 1MDB

SHARE
PETALING JAYA, 2 Jun ― Seorang pemimpin Umno mengakui kekalahan pada pilihan raya lalu kerana takut menegur Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata mereka takut melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat apabila mengkritik Najib, perdana menteri waktu itu.

Selain mantan timbalan perdana menteri itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga membantah skandal itu.

Ketua bahagian Umno Cheras berkata tidak ada yang terkecuali dalam Umno, setiap anggota parti bersalah dalam hal itu, lapor Malaysiakini.

“Semua bertanggungjawab. Kami wajar dipersalahkan kerana tiada yang bersuara seperti Mahathir, Muhyiddin atau Mukhriz,” kata Syed Ali.

“Kami terlalu takut untuk bersuara, [jadi] kami mendakwa Najib betul dan tiga pemimpin itu mahu sabotajnya. Kami hanya ikut arus.”

Syed Ali, setiausaha Umno Wilayah Persekutuan, mendedahkan beliau tidak berani menegur Najib walau “separuh percaya” dan simpati pada Muhyiddin.

Pemimpin Umno itu mengakui penolakan terhadap Najib memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan tetapi kini terlewat untuk menyalahkan sesiapa.

“Sudah terlambat. Malah ini bukan masanya untuk menyalahkan [orang lain]. Kita sendiri salah kerana tidak bercakap tetapi hanya mengikut...,” katanya.

Rabu lalu, polis menyiasat Najib selama beberapa jam di rumahnya berhubung rampasan wang tunai RM114 juta, 284 beg mewah dan puluhan kotak barangan kemas di pangsapuri mewah pada 18 Mei lalu.

Pada 22 dan 24 Mei, bekas perdana menteri juga disiasat selama berjam-jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana bekas anak syarikat 1MDB yang didakwa masuk ke akaun peribadinya.

Barisan Nasional (BN), termasuk Umno, hanya memperoleh 79 kerusi berbanding Pakatan Harapan 122 kerusi pada pilihan raya 9 Mei. Susulan itu, beberapa pemimpin dan parti komponennya meninggalkan gabungan tersebut.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers