Saturday, 2 June 2018

Waran tangkap terhadap Jamal Yunos dikeluarkan

SHARE
KUALA LUMPUR, 1 Jun: Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Beliau berkata waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

“Polis telah memberi masa secukupnya kepada Jamal untuk tampil menyerah diri dan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan yang dijalankan terhadap beliau namun, tetap gagal.

“Jamal sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan yang cuba menggambarkan bahawa keselamatan dirinya terancam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Fuzi meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai Jamal kepada mana-mana balai polis berdekatan setelah dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada Jumaat lepas.

Kehilangan Jamal disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jaminnya kira-kira 5.30 petang.

Jamal, 48, didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada 5 Okt lepas.

Jamal mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers