Wednesday, 4 July 2018

Peserta FELCRA belum dapat insentif gesa siasatan

SHARE
BOTA: Lebih 800 peserta FELCRA Kawasan Nasaruddin Berhad dan FELCRA Gelung Pepuyu Dusun Bota Berhad mahu siasatan terhadap pengurusan agensi itu dilakukan berikutan mereka belum menerima wang insentif seperti yang diumumkan kerajaan pada 6 Jun lalu.

Ketua FELCRA Gelung Pepuyu Dusun Bota Berhad, Usaili Alias berkata, pembayaran insentif raya berjumlah RM450 bagi perayaan kali ini didakwa masih belum diterima sehingga kini.

Menurutnya, pihaknya percaya ia berpunca daripada pihak pengurusan agensi yang gagal menguruskan insentif berkenaan, malah memberikan pelbagai alasan mengenainya.

"Pihak pengurusan negeri juga sudah memanggil saya mengenai perkara ini dan mereka mendakwa insentif raya itu tidak membabitkan FELCRA sedangkan perkara itu sudah diumumkan.

"Saya dimaklumkan ada sebahagian peserta mungkin di kawasan lain yang sudah menerima pembayaran itu, namun kami di sini tiada siapa lagi yang menerima insentif berkenaan," katanya ketika ditemui di FELCRA Kawasan Nasaruddin di sini, hari ini.

Usaili berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan perkara berkenaan kerana ia sudah diumumkan kerajaan bulan lalu dan berikutan itu, pihaknya membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Seri Iskandar, semalam.

Katanya, mereka sebagai peneroka FELCRA berharap pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap pengurusan tertinggi yang sudah meletakkan jawatan mahupun masih memegang jawatan.

"Itu (insentif) adalah hak kami dan kami mahukan kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan tertinggi berkenaan perkara itu yang sebetulnya, jika tiada peruntukan beritahu, malah berharap siasatan dapat dilakukan bagi mengelakkan penyelewengan," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan memberi insentif raya berjumlah RM450 kepada peneroka FELDA dan FELCRA, termasuk bukan ahli FELDA bagi perayaan kali ini.

Pembayaran itu membabitkan kos RM50 juta bagi FELDA yang menggunakan peruntukan kerajaan dan RM44 juta bagi FELCRA yang digunakan menerusi peruntukan FELCRA.-Berita Harian
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers