Friday, 6 July 2018

RM100 juta wang PRU, tidak adil serbu Najib, kata Ellie

SHARE
KUALA LUMPUR, 6 Julai — Pelakon Ellie Suriati Omar tidak terkejut dengan nilai rampasan di kediaman berkaitan Datuk Seri Najib Razak.

Ellie, 47, berkata Umno sahaja memiliki 191 bahagian dan wang untuk jentera parti ketika pilihan raya perlu diagih ke cawangan seluruh negara.

“Saya tidak hairan ada beratus juta dalam rumah Najib sebab dia pemimpin Umno. Masa itu baru lepas pilihan raya.

“Baru berapa hari lepas pilihan raya, beliau tidak sempat pindahkan wang itu kepada Umno, selepas itu terus kena serbu. Adakah itu adil?” katanya.

Bulan lalu, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga dari kondominium mewah Pavilion Residences di Jalan Raja Chulan di sini.

Wang tunai dilapor berjumlah lebih RM110 juta manakala keseluruhan barangan tersebut dianggar sekitar RM1.1 bilion.

Mengecam kerajaan baru, Ellie berkata rakyat masih menagih janji yang ditabur Pakatan Harapan selepas hampir dua bulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berakhir.

“Sekarang ada harga minyak turun? Tol dan PTPTN mansuh? Manifesto mereka tidak masuk akal. Pada saya kita sendiri yang rugi,” katanya.

Beliau juga berpendapat, tidak adil Najib dijatuhkan atas sebab pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana wang berkenaan dipulangkan semula kepada rakyat.

“Najib seorang pemimpin yang saya bangga. Jika beliau dijatuhkan kerana GST yang diamalkan di 160 buah negara, ia satu kesedihan,” katanya.

Mahu orang Melayu bangkit dan sedar, pelakon filem “Paloh” berkata lebih membimbangkan wujud desakan untuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dimansuh.

Katanya, walau tidak berhijab, beliau konsisten mempertahankan Jakim dan Islam daripada dipertikai pihak tertentu.

“Saya tidak pakai tudung tetapi saya beragama Islam. Saya tidak suka Jakim dimansuhkan. Tidak perlulah saya bertudung untuk saya tidak bersetuju.

“Saya tidak pakai tudung kerana saya dalam industri seni. Nanti kalau ada tawaran watak pelacur tua, apa pula jika saya pakai dan buka semula tudung.

“Kita ada peranan masing-masing dan bertanggungjawab dalam kerjaya kita. Siapa yang tahu saya tidak berdakwah dalam karya saya? Saya adalah peranan di situ,” katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers