Monday, 2 July 2018

'Saya tidak akan melepaskannya'

SHARE
KOTA BHARU: "Saya tidak akan melepaskannya hanya kerana desakan pelbagai pihak. Yang pasti, perkahwinan kami sah di sisi agama meskipun salah dari segi undang-undang."

Peraih getah berusia 41 tahun di Gua Musang yang menikahi seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, menegaskan pendiriannya itu walaupun ramai menentang perkahwinan mereka selepas ia menjadi viral dan mendapat perhatian meluas.

Bapa kepada enam anak itu berkata, isu perkahwinannya dengan isteri ketiga berkenaan diharap tidak terus diperbesarkan kerana mereka mahu menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kisah kami menjadi bualan seluruh negara dan saya mengaku turut tertekan dengan situasi ini. Namun, kehidupan saya berjalan seperti biasa, termasuk menjadi imam di surau kampung.

"Orang kampung yang sudah mengetahui perjalanan cerita, tidak memandang sinis langsung terhadap kami. Hanya orang luar yang terkejut dengan isu ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hubungannya bersama isteri baharu tiada masalah, malah kanak-kanak itu dikatakan tidak terkesan dengan isu berkenaan kerana yang penting ialah perkahwinan mereka sah di sisi agama.

"Kami sudah dipanggil pihak polis untuk memberi kenyataan dan pihak kerajaan negeri juga memaklumkan akan berjumpa dengan saya di Gua Musang, hari ini.

"Justeru, saya akan mendapatkan nasihat pihak kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan, termasuk mendaftarkan perkahwinan kami," katanya.

Katanya, sejak perkahwinan itu, beliau belum lagi berjumpa dengan isteri keduanya berusia 34 tahun kerana mahu memberi ruang kepada wanita berkenaan yang masih marah.

"Saya tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku sekiranya bertemu dengan isteri dalam keadaan marah," katanya.

Tindakan lelaki itu mengahwini kanak-kanak terbabit yang difahamkan berasal dari selatan Thailand, baru-baru ini, mencetuskan kontroversi apabila ia disifatkan bercanggah Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan akan meningkatkan had umur perkahwinan bagi perempuan di negara ini daripada 16 kepada 18 tahun, menerusi pindaan undang-undang dalam tempoh terdekat.

Selain itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berdasarkan perincian daripada seorang hakim Mahkamah Syariah ditemuinya, perkahwinan pasangan berkenaan adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak mendapat kelulusan mahkamah.

Sementara itu, kanak-kanak perempuan terbabit mengaku akan setia menunggu lima tahun lagi untuk tinggal bersama suaminya apabila mencapai umur 16 tahun nanti.

"Saya berulang kali menyatakan kepada pihak yang mengambil keterangan berhubung pernikahan ini, bahawa tidak akan berpisah," katanya.

Malah, kanak-kanak itu berkata, hubungannya dengan dua madu juga semakin erat selepas berita perkahwinan dengan suami mereka diketahui umum.

"Hampir setiap masa saya berhubung dengan dua madu melalui aplikasi WhatsApp dan kami bertambah mesra.

"Mereka berdua tanya sama ada saya benar-benar sayang kepada suami. Saya menjawab seikhlas hati amat menyayangi suami," katanya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers