Tuesday, 25 September 2018

Kerajaan Tak Ada Duit Desak Bayar Pinjaman PTPTN

SHARE
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Kerajaan Pakatan Ha­rapan (PH) tidak mempunyai hak untuk me­nuntut hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah setelah parti itu menjanjikan penangguhan bayaran buat golongan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, menurut peguam dan aktivis Concerned Lawyers For Justice (CLJ), Aidil Khalid, peminjam yang membuat keputusan untuk tidak membayar balik hutangnya kerana gaji belum mencapai RM4,000 tetapi namanya direkod buruk dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) boleh memfailkan saman kepada kerajaan dan PTPTN atas prinsip penepian (wai­ver) dan estopel janji hutang (promissory estoppel).
Menurut beliau, prinsip penepian dan estopel janji hutang tersebut menetapkan bahawa jika seseorang itu berjanji untuk tidak menguatkuasakan haknya, maka dia tidak boleh lagi menuntut hak yang telah dilepaskannya walaupun pada awalnya mempunyai hak itu, seperti yang terjadi dalam kes pembayaran balik pinjaman PTPTN.

“PH telah berjanji dalam manifesto mereka secara jelas bahawa jika mereka membentuk kerajaan, para peminjam PTPTN tidak perlu membayar balik hutang selagi mereka belum mempunyai gaji sebanyak RM4,000 sebulan.

“Memandangkan PH telah berjaya membentuk kerajaan pada hari ini, maka janji tersebut telah melonggarkan kewajipan para peminjam daripada membayar balik hutang mereka,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.

Isu pinjaman PTPTN kembali menjadi buah mulut orang ramai apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa beliau malu dengan sikap tidak amanah peminjam PTPTN yang tidak melunaskan pinjaman tersebut sehingga hutangnya mencecah RM36 bi­lion.

Mengulas kenyataan itu, Aidil berkata, seseorang yang tidak membayar hutang kerana telah dijanjikan pe­nangguhan oleh pihak yang memberi pinjaman tidak sepatutnya dituduh sebagai tidak bermoral.

“Sebaliknya pemimpin ne­gara yang berjanji macam-macam ketika hendak meraih undi tetapi setelah menang pilihan raya tidak mahu memenuhi janjilah sebenar-benar hipokrit, tidak berakhlak dan munafik,” ujarnya.
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

0 comments:

Google+ Followers