Sunday, 9 September 2018

MTUC: Kerajaan khianati pekerja miskin

SHARE

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengkhianati golongan berpendapatan rendah atau mereka yang berada dalam kumpulan B40.

Ketua Setiausahanya, J Solomon yang sebelum Pilihan Raya Umum lalu mendesak 14 juta pekerja menyokong HARAPAN, kini mendakwa gabungan itu tidak sensitif dan tidak peduli terhadap penderitaan golongan B40.

"Hak asasi manusia yang asas bagi warga B40 terang-terang dilanggar walaupun memiliki kerajaan baru," tegasnya dalam kenyataan media yang keras.

Salomon mengulas pengumuman Putrajaya semalam bahawa gaji minimum akan diseragamkan pada RM1,050 sebulan, atau bersamaan RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Januari 2019.

"Peningkatan sebanyak RM50 daripada RM1,000.00 adalah jumlah yang kecil kepada buruh manakala kenaikan RM130 bagi Sabah dan Sarawak masih berada di bawah garis kemiskinan iaitu RM1,180 di Sabah.

"Selepas penangguhan selama 18 bulan dalam semakan pertama dan satu lagi penangguhan selama enam bulan dalam semakan kedua yang bersamaan 24 bulan menunjukkan sikap tidak mengendahkan pekerja miskin dengan kenaikan gaji minimum ini," katanya.

Menurutnya, golongan pekerja pada PRU lalu mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan harapan gabungan itu dapat membela nasib mereka.

Tambahnya, golongan itu juga tidak mampu hidup selesa dengan upah yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi.

Bagaimanapun katanya pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak berjaya menurunkan harga barang yang akan terus menyebabkan beban kepada kumpulan B40.

"Bagi MTUC, kerajaan HARAPAN telah mengecewakan pekerja miskin sementara sikap sombong dan tidak mempedulikan tenaga kerja yang ditunjukkan oleh kerajaan terdahulu kini nampaknya muncul kembali oleh tindakan kerajaan baru.

"MTUC ingin mengingatkan bahawa adalah bodoh yang amat bagi mana-mana kerajaan untuk menunjukkan rasa tidak hormat kepada tenaga kerja dan membiarkan golongan buruh dimanipulasi.

"Pekerja akan bersatu untuk melawan sesiapa sahaja yang melemahkan maruah pekerja," tegasnya.

https://m.malaysiakini.com/news/441969
"---SHARE---" "---KONGSI---"

Author: verified_user

1 comment:

  1. Mr Solomon, brapa gaji you bayar you punya officeboy..

    ReplyDelete

Google+ Followers